Ahad, 27 Disember 2009

tulisan 2010.

sambungan azam 2010...hehehe...

Mulai 2010, aku cuba untuk menulis dengan lebih banyak lagi dan ia bukan lagi dalam bentuk puisi moden, tapi puisi tradisional. Ada orang bertanya kenapa aku suka menulis sajak? jawapan aku senang. Sajak lebih pendek daripada menulis cerita. Itu yang aku suka.

Kadang-kadang lepas baca mana-mana buku idea datang mencurah-curah. Baca majalah pun boleh dapat idea. Malah aku rasa kalau tengok/baca mana-mana majalah lucah (kalau adalah di Malaysia) pun idea untuk tulis sajak ini boleh datang macam itu saja.

Itu belum lagi dikira pengamatan aku terhadap orang sekeliling dan peristiwa-peristiwa semasa.

Pendek kata siapa-siapa saja boleh menulis puisi. Yang penting orang faham apa yang kita tulis. Faham secara berbeza-beza tidak apa. Asalkan orang boleh memberi maksud untuk kata-kata dalam puisi yang kita buat.

Tapi selalunya ide untuk menulis-nulis seperti itu akan datang bila aku dalam keadaan resah dan tidak menentu - tidak dapat tidur misalnya..hehehe.

Anyway, itu semua tidak penting. Cuma aku nak cakap di sini, selain sajak, kita masih ada banyak lagi puisi dalam bentuk-bentuk yang lain.

Namun kita hanya lebih terdedah dengan pantun, syair dan sajak.
Syairnya pula banyak pula dilagukan mengikut langgam 'Syair Siti Zubaidah' sahaja.

Tidak adakah dalam bentuk irama yan lain?
Jawapannya ... ADA!

Masih aku ingat pada tahun 1997 bagaimana merdunya Ibu Zurinah Hassan melagukan syair dalam bentuk lagu seperti mendodoikan anak. Asyik sekali!
Selalunya bila aku berborak-borak dengan kawan-kawan aku akan merujuk langgam itu sebagai 'Style Zurinah Hassan', seperti mana dalam dialog ini " eh, kau bacalah syair tu ikut style zurinah hassan, style yang biasa tu boring laaa..."

Masa itu juga UM telah menerbangkan seorang penyair dari Sabah, tak silap aku Orang Bajau Laut untuk melagukan syair dalam bentuk irama suku kaum tersebut. Suara lelaki separuh umur yang serak-serak basah itu seolah-olah melagukan jampi serapah yang kadang-kadang nyaring dan kadang mendatar menerbitkan kemerduan yang lain dari yang lain. Dan seperti kedua-dua langgam syair yang lain, pakcik ini juga melagukan syairnya dalam bentuk irama yang mendayu-dayu dan bentuk ritmanya yang agak tetap. Bagi aku ini penting, untuk memastikan lagu syair ini boleh di bawa oleh sesiapa saja.

Alangkah eloknya kalau lebih ramai lagi orang melagukan syair sepertimana yang dibuat oleh Ibu Zurinah Hassan dan juga penyair dari Sabah itu. Maka lebih pelbagai lagilah irama-irama syair di negara ini. Khalayak pula tidaklah berasa jemu sekiranya lagu syair ini ada bermacam-macam. Cuma janganlah pula mencampur-adukkan ketiga-tiga langgam ini dalam satu syair.kacau bilau dibuatnya.Akan hilang merdunya nanti.

Puisi-pusi yang lain macam mana pula...?
Nazam?
Rejang?
Mantera?
Seloka?
Gurindam?
Tambo?

kalaulah ada persembahan-persembahan untuk puisi-puisi ini, tidak kira apa, pasti aku akan pergi untuk menonton persembahan mereka.

dan jangan lupa untuk lagu-lagu rakyat juga, terutamanya dari Pahang dan Terengganu.
nanti aku sertakan lirik-lirik untuk lagu-lagu ini.

Tapi aku juga akan menulis dalam bentuk prosa juga. Boringlaa kalau tak ada selang seli. Nanti aku sertakan lirik lagu yang aku rasa best...

nak aku tulis apa lagi...?
Pasal Negeri Kelantan, Tanah Serendah Sekebun Bunga?
Pasal kenapa aku suka makan belalang?
Atau pasal kehidupan aku sehari-hari?

...herrmmm....tak pa aih...kalu ada masa aku tulis semmo..okeh...

okeh adios babe.
gebb.

...

Rabu, 23 Disember 2009

Azam baru

.

tahun baru datang lagi.
tahun 2009 dah nak habis.kejap sangat aku rasa.
aku dah nak celebrate umur yang 33 Januari ni-bulan depan.
kahwin belum lagi..haiii....apa nak jadi dengan aku ni...
ada siapa-siapa nak masuk meminang aku?? aku terus terima...100%!!!
hehehe....

satu jek aku rasa yang aku belum buat - nak kasi hip lagi aku punya blog ni...tengok blog orang lain bukan main best lagi...aku masih dok merangkak-rangkak lagi...hehehe.
kena berguru lagi dengan Cik Qasih ni.. :p

Kalau aku flashback balik tahun 2009 ni, banyak benda berlaku dalam hidup aku :

1. Kakak aku (I love you sis) dapat baby - selepas anak pertama beliau meninggal dalam kandungan, beberapa minggu sebelum dijangka lahir. Ia satu peristiwa yang besar dalam keluarga aku.

2. Gemulah Abg Long - sepupu aku (anak Wak) meninggal dunia selepas bertarung nyawa melawan kanser dua bulan lepas.

3. Aku bertukar department - Credit Management to Analytics & Strategies. (cuma tempat kerja laa belom bertukar!)

4. Pindah rumah dari Flora Damansara ke Pandan Indah.

5. Melancong ke Langkawi sambil-sambil melawat kawan aku Encik Bawal Hitam yang bekerja kat sana.

6. What else ya? macam-macam lagi lah

Nanti laa aku update lagi....lupa lak..

So apa azam baru aku tahun depan?
hermmm..masih belum fikir lagi...Kahwin kot.

tengok laa nanti. bukan penting pun.

tapi kalau nak banyakkan amal ibadat itu penting...
so mungkin itu kot azam aku untuk 2010.
kawan-kawan semua doakan ya...

adios babe.
.

Khamis, 29 Oktober 2009

puisi 3 kawan

.

untuk feisal semberani


tiga malam

dia merindu

ulit asyik dan ratib berahi

dari dada

seorang wanita


tiga malam

diri gelisah

menanti kasih

yang sudah lupa

akan nikmat rasa


tiga malam

tidak keruan

yang budak tua

lapar cinta

dahaga segala


ah

berikan saja dia madu

pelepas haus dan kenyang syurga

hanya untuk malam ini saja


Adik Farrah

satu baris rasa untuk satu kata bicara


senyum

manis


petah

bicara


lidah

fasih


dan

tebal

kaca

mata


ceria

bila

tertawa


gigi

bak

mutiara


hidung

seludang

muda


bibir

menguntum

merekah

delima


kata

tersusun

bak

typewriter


dan


gelak

makcik

makcik

tua


dia

telah

memberi

aku

senyum


terima

kasih


adikku


Setelah adif pulang


pecal lele di ampang

dan jalan sesak

mengajak kami pulang

setelah kenyang

dengan asap

dan mata lelap


adif telah pulang

tinggal hanya aku

menunggu sabar matahari siang

sebelum bulan malam

mengajak kembali

untuk aku ke ampang

mencari lele hitam

dan ulam ulam


ahh… pecal lele

kau tunggu di situ

aku datang



.

.

Ahad, 25 Oktober 2009

di hotel istana

.

Pagi semalam
aku di istana
melihat wak sida
dan dayang dayang
mengarang bunga

peterana agam
meja santapan besar
buaian dua tiang

menjadi
mawar merah
kuning kundang
wangi bersih putih

cantik!
sungguh
membuat aku
ingin jadi raja
walau untuk sehari sahaja

.

Khamis, 22 Oktober 2009

Menonton Lingkaran Kapur



16/10 Jumaat DBP 9.00 malam

Arahan : Profesor Ches J. Skinner

Karya : Bertolt Brecht



Arrgghhh…bertemu janji pukul 7.30 petang di Sentul untuk ke DBP terpaksa aku batalkan kerana bos minta pula untuk aku tunggu sehingga pukul 7.00. Dia kata “Mana tahu kalau ada apa-apa yang penting nanti…”


hermmm…kata dialah.


Kata aku pula…”alah, kalau bos sorang-sorang pun boleh buat hapa…?’

tapi aku hanya berani cakap dalam hati aku saja laa…tak pasal-pasal potong bonus satu bulan nanti…hehehehe… yang terkeluar hanya sengih-sengih dari bibir. Dia angguk dan aku angguk. Dia senyum dan aku sengih.


Bila bos aku masuk meeting terus aku sambar telefon “err…Annie kalau kita jumpa kat DBP terus boleh ke? Abang kena stay pulak…ada hal.” Tapi Annie minta aku tunggu di LRT Hang Tuah pula. Dia datang ambik. Mujurlah adik-adik aku ini sporting juga orangnya…tak ada pula marah-marah…heheh.


Pukul 7.15 aku cabut! Pukul 7.30 aku terpacak kat stesen LRT menunggu mereka!

Ini pertama kali aku turun di LRT Hang Tuah, setengah jam menunggu mereka yang bertolak dari Sentul.

Jalan sesak teruk!


Sebenarnya aku mengajak beberapa kawan untuk sama-sama menonton teater ini

Annie dan Shima – dua adik angkat aku. Pertama kali mereka menonton teater.

Mrae juga pada awalnya ingin sama menonton tapi ada hal lain saat-saat akhir.

Adif-kawan yang gila seni dan gila nyanyi juga datang malam tu. Dia bawa kawan baru Hafiez…

Aku SMS Cik Qasih juga, tapi tidak berbalas pula. Kalau dia datang boleh ajak Ms Ryan sekali.

Tidak apalah, mungkin dia ada hal.


Sebetulnya ini kali kedua aku menjejakkan kaki ke Balai Budaya Tun Syed Nasir. Kali pertama dulu masa aku masih bergelar siswa di Uniperdana. Menonton Sayembara Manifestasi Puisi inter-varsiti. Sempat bertemu Erma Fatima,Ummi Aida dan Aqasha yang mempromosi filem Embun pada masa itu.


Dan ini kali ketiga aku menonton karya adaptasi dari barat.

Pertama di panggung eksperimen UM, produksi pelajar komunikasi massa UM. Tahun 1998 kalau aku tak silap dan arahan Puan Roselina Khir Johari.

Kedua di Dewan Tunku Canselor UM, produksi pelajar teater, Pusat Kebudayaan UM. Tahun 2002 atau 2003 – juga arahan Puan Roselina Khir Johari.


Kali kedua pula aku melihat produksi UiTM, pertama dulu Bukan Lalang Ditiup Angin- di Panggung Bandaraya, KL. Masa tu adik perempuan aku masih belajar di UiTM, di fakulti yang sama dengan mereka yang mementaskan Lingkaran Kapur ini. Atas ajakan dialah aku berkunjung ke Panggung Bandaraya pada tahun itu. Kebetulan pula pelakon lelaki utamanya ‘kasih jiwa hamba’ dia waktu itu.


Ahh…sampai di DBP, lega…belum mula acara!

Aku mencari kaunter tiket. RM10.00… “minta tiga dik.” Dengan senyum manis perempuan cantik penjaga kaunter minta aku tunggu untuk dia tulis resit…dan aku pun pose sekacak mungkin di depan meja tiket.mengharapkan borak-borak dan bual bicara. Kalau tak pun dapat senyum-senyum lawa pun dah tak apa…thehehe. Lupa pulak yang dia muda dan aku tua...dan aku pula membawa dua lagi anak dara…iskhh..kena kembali ke dunia sebenar.


Nampak juga Shahrul Fitri –suami Aida Nurul Ain dari jauh. Kenalan semasa di universiti dulu. Kini dia sudah bergelar pensyarah teater di UiTM. Kami tidaklah begitu rapat. Cuma, kalau ada apa-apa acara masa di U dulu-dulu, kami bertegur sapa dan bertukar-tukar senyum. Aku lebih kenal isterinya yang ramah dan ceria itu.

Mencari tempat duduk agak sukar kerana semua tempat duduk yang banyak dikhaskan kepada tetamu VIP dan juga di’reserved’. Tinggallah kerusi-kerusi yang tidak berapa ‘strategik’ untuk kami pilih.

Bak kata Shima “alaa…kerusi-kerusi tu nanti bukannya ada orang duduk pun nanti…tengoklaa…”

Dan dia betul! Tak apalah Shima, lain kali kita buat reservation.…


Kami duduk dan menunggu pementasan.

Kelihatan pentas di depan yang ada kelainan. Pentas diturunkan ke lantai khalayak dan dibentuk secara arena.- nanti, aku agak mungkin sukar untuk kami melihat para pemeran beraksi-terlindung dengan kepala penonton lain.

Bermula pementasan, bermulalah juga ulasan dan komen-komen (yang amatur : ) dari dua orang adik aku ini. Aku cuma tersenyum lucu. Dan kadang-kadang ada juga betulnya.


Annie (dan Adif kemudiannya) mengatakan muziknya seperti tangkap muat. Penyanyi ke lain, muzik pula ke lain. Itu aku tidak tahu. Aku bukan pandai sangat dalam hal muzik-muzik ni.


Shima pula rasakan busana mereka tidak begitu menarik. Mungkin penggunaan busana ini ada kaitan dengan teori teater yang mereka belajar dan persembahkan kali ini. Kita tidak tahu.


Ah…perasan. Baru sekali menonton teater dah komen macam-macam. Tahu ke teori-teori teater? Jangan nak tunjuk pandai aaa….


Dan bagi aku pula? Macam mana?

Bukan Lalang Ditiup Angin yang dipentaskan beberapa tahun lepas telah meletakkan standard yang tinggi untuk para pelajar UiTM. Pada tahun itu batch tersebut dengan jayanya mementaskan sebuah karya besar SN Datuk Noordin Hassan.


Junior mereka terpaksa bekerja lebih keras untuk menyaingi apa yang telah dibuat oleh abang-abang dan kakak-kakak mereka itu.


Teruja berdasarkan pengalaman menonton Bukan Lalang Ditiup Angin, nampaknya standard para pelakon kali ini sedikit menurun. Adakalanya semacam menonton drama sekolah menengah.


Penggunaan dialek setempat dan bahasa-bahasa asing banyak membantu menghidupkan suasana.

Kami agak terhibur dengan dialog-dialog seperti ini.

Namun ada juga di satu dua tempat kelihatan semacam tidak cocok dan seolah-olah ditampal dengan kasar pada karya yang begitu besar ini.


Pencahayaan juga tidak banyak membantu untuk mewujudkan mood dan memisahkan adegan-adegan dalam teater ini. Mujurlah ada 2 skrin besar di kiri dan kanan penonton yang banyak membantu penonton untuk mengetahui latar tempat dan masa untuk persembahan ini. Cuma kami tahu apabila tukang cerita berbicara tandanya scene yang berikut akan muncul, walaupun nyanyian pelakon ini lebih menyakitkan telinga. Sayang.


Tapi pelakonnya utamanya memang berbakat besar.

Stamina mereka semua juga tinggi. Untuk tiga malam berturut-turut dan satu matinee, memang sesuatu yang menuntut kesabaran yang besar. Aku percaya disiplin mereka juga tinggi kalau tidak masakan boleh mementaskan teater seperti ini..


Syabas untuk mereka walau tidak sepuas aku menonton Bukan Lalang Ditiup Angin tapi pujian harus diberikan kepada mereka kerana berani mementaskan naskhah besar dari barat ini.


Usai menonton, kami -aku, Adif dan Hafiez makan-makan dan borak-borak di kedai makan Tok Perak –– mereka berkongsi sentimen yang sama dengan aku…Cuma dengan nada yang lebih parah dan lebih marah. Mungkin mereka berasakan tidak berbaloi membayar RM10 untuk pementasan yang barangkali boleh juga ditonton semasa hari guru di sekolah-sekolah serata Malaysia .


Sabeerrrr…!!!mereka itu masih bergelar pelajar…biarlah mereka buat seberapa banyak kesalahan pada masa ini. Ini masa untuk mereka belajar dan menggali segala ilmu sebelum betul-betul menjadi pengkarya yang hebat di luar nanti.


Percayalah, mereka inilah yang akan muncul sebagai para pelapis yang berwibawa dan akan mewarnai dunia teater kita pada masa depan.


Untuk mereka ini, aku ucapkan terima kasih. Kalau tidak kerana kalian kami mungkin tidak boleh menonton naskhah ini dalam Bahasa melayu. Semoga kalian akan terus berkarya.


.

Selasa, 20 Oktober 2009

Malam Kelam II

.


entah angin apa

tika malam menanti siang

gemuruh semilir menyeru-nyeru awan suram

menjadi asap asap celaka

luruh bagai anggur-anggur hitam

umpama lihai candu tuak peram

seteguk dua menyambut denting subuh kelam


lalu berlari kencang sang serigala siang

meninggal jauh tadi malam yang hujan

menjadi angin gasar mengejar pusar taufan

menyalak-nyalak bingar

rumput lalang dan pohon rendang


kota lama

kiambang di kolam

sundal malam

kemboja siantan

asyik

menari gelora berahi

iramanya sewangi kasturi

harum di hujung malam

terbawa-bawa sampai ke siang

itu hiasan taman seribu kembang

tempat libur orang orang atasan


lembah subur dua kuala

gelandangan dan orang orang biasa semua

mesra mandiri

sungai keruh tebing runtuh

itu gembira dan langsung hidup

asam keluak celagi dan buah kelubi

masamnya tidak panjang

dimamah dimakan bagai tiada apa apa

gula kabung madu dan nira

manis dikongsi

serata semua

itu indah rasa

tempat untuk semua

manusia biasa


siang ini

pohon rendang direnggut

bagai diperkosa dijerut dibuang

akar terbongkar

dahan patah

batang menyembah tanah

geluk besar

menadah tuba masam

dituang awan yang marah


rumput lalang menjadi padang

dinjak-injak

ganas sang serigala kejam

taringnya dari guruh

bulu tajam menyula bumi

ngaum bingit bergegar langit

kaki kekar merekah tanah

ekor melibas kilat halilintar


lidah hanyir

menjilat

lembah di dua kuala

sungai tebing runtuh bermuntah keruh nanah

menjadi raksasa maha besar

mengaut lahap

mandiri

manis mesra

langsung hidup

dan indah rasa


sudah tidak ada apa apa


anjing serigala

kau juga harus ke kota lama

walau ampuh dah kebal bencana

tapi cubalah

di situ banyak bunga wangi

dan kolam air mawar

boleh bersiram bak putera putera raja


sang serigala yang berkuasa

terima kasih

untuk getir hidup

tandamata derita untuk dikongsi

warisan anak anak kemudian hari


wahai bayu

bila kau berpuput girang

sampaikan ujar salam

pada malam tenang dan nyaman siang

jangan pergi

biar kau di sini

kau pengukir senyum di wajah gembira


juga pesan pesanan ini

untuk orang orang di lembah sana

pandanglah tinggi ke langit

bukan dengan mata

tapi dengan hati

di situ ada wajah tuhan

yang mahu menguji

sabar dan percaya Addin


ya Tuhan

anugerahkan mereka sekelumit rezeki

untuk waktu ini

dan nur iman di dada

untuk selama lama


Razali

20/10/09

MING Building, KL



.

Ahad, 11 Oktober 2009

Demam

...

demam
kerna makan-makan
dan sesat jalan

kerna kenyang
dan duit melayang

aku
tidur dengan perut membusut
untuk dibuang-buang esok pagi

dan kenyang semula
untuk tengah hari nya.

rezeki Syawal

dan aku suka

...

Ahad, 27 September 2009

Salam Aidilfitri

.
kepada kawan-kawan,

salam aidilfitri.
maaf zahir dan batin.

saya beraya di kampung tahun ini - Pasir Hor, Kota Bharu, Kelantan.

..........................................................................................................................

Handphone

.
bulan syawal dua hari
telefon genggam hilang di tangan
aku
supir kehilangan kereta
hilang arah sesat fikir
cari jalan mahu pulang
juga nombor-nombor untuk hubungan

di mana ya?

.

Selasa, 15 September 2009

Anak Pak Ngah

.

Iftar
di rumah Kak Ni
kakak sepupu
anak abang mak

Bandar Tasik Permaisuri

jelira kita makan
sayur campur goreng
asam pedas ikan bawal
ketam masak lemak
ikan selar masak kicap
sambal belacan (yang kita tidak makan)
dan nasi putih
beserta air teh.

Kak Ni yang mahir memasak
cara masakan tak ubah seperti mak
kita amat suka nasi dagangnya yang sedap

kini
Kak Ni tidak begitu sihat
wajah letih tidak bermaya
walau sehabis usaha cuba gembira

kami berkongsi
cerita-cerita letih semasa berubat
juga anak-anak saudaranya yang hebat-hebat
dan sesekali tertawa-tawa macam tak ingat!

begitulah sesekali bila bersua

sepuluh malam
kita tinggalkan Kak Ni
dengan janji bertemu di kampung mak
hari raya ahad nanti
kita ujar salam tangan berjabat
sedikit cicipan tandamata
sempena hari mulia yang bakal tiba

juga untuk Kak Ni
kita tinggalkan ini
kasih dari hati
dan sayang dari jiwa

semoga Kak Ni gembira hendaknya.
.

Isnin, 14 September 2009


.

Semalam, usai berbuka di rumah aku buru-buru menuju ke Sungai Besi. Niat di hati ingin melawat Pak Muda, adik kepada mak yang paling bongsu. Sudah lama tidak menjengah bapa saudara aku ini.Pesara askar dan sudah lama menetap di KL. Dulu semasa masih menjadi askar Pak Muda menetap di kem dan setelah bersara dia menetap di salah satu kawasan perumahan berhampiran Kem Sungai Besi.

Banyak perkara yang kami borak namun aku mendapat perkhabaran yang menyedihkan - Abang Long, sepupu aku kini sudah dalam keadaan koma di HUKM akibat kanser usus. Sedih aku mendengarnya. Hidupnya kini hanya bergantung pada alat bantuan oksigen semata-mata.
Esok mungkin aku berpeluang melawatnya di sana. Moga-moga kerja aku tidak bertimbun esok hari. Bolehlah mencari masa untuk ke HUKM.

Ibu kepada Abang Long, yang kami panggil Wak iaitu kakak mak juga sudah ada di KL. Begitu juga dengan anak-anak Wak yang lain. Aku tahu Wak amat sedih melihatnya anaknya begitu. Ibu mana tidak sayangkan anaknya. Banyak-banyak bersabar Wak. Mana tahu kuasa tuhan Abang Long akan sembuh nanti. Kita sama-sama berdoa.

Abang Long, moga-moga sakit Abang long akan cepat sembuh.


rojali
.

Ahad, 13 September 2009


Tarikh: 12.09.09
Hari: Sabtu
Tempat: Rumah Sue Desa Coalfield Sungai Buloh.

Potluck yang best!!!

Menu:

Nasi
Ayam Panggang
Kambing Panggang
Udang Berempah
Ketam Masak Lemak
Sotong Masak Tumis
Kerang Rebus
Sambal Tomato

Spaghetti Sotong
Pecal
Roti Jala

Bubur Lambuk
Kurma
Cheese Cake
Cocktail Pudding
Buah-buahan- tembikai, oren, tembikai susu

Air Anggur & Oren
Teh


terima kasih Sue -sebab bagi guna rumah untuk potluck tahun ni.

Yang hadir:

Geb
Mre
Cik Penjahit
Yong
Sue D
Sue
Aty

dan beberapa tetamu yang lain...



Sabtu, 5 September 2009

Rindu


.
Ramadhan ini
aku rindu syurga
menulis cerita gembira derita
dari jejak jejak kasih bonda

ramadhan ini
aku kecup dahi ayahanda
membaca makna dari tenung mata
belajarlah menjadi seorang dewasa

ramadhan ini
aku sayu menangis hiba
bukan di mata tapi di dada
menghantar aku pulang ke kota
dengan senyum dan pesan-pesan mereka

ketahuilah
aku ingin sentiasa di sana
mahu di samping ayah dan bonda
melihat adik dan anak-anak saudara
abang-abang dan kakak juga
serta kawan sohabat tempat bersenda

tunggulah
aku akan pulang
dua purnama saja
untuk kita ketemu kembali


1 Ramadhan
Ogos 2009
.

Menu berbuka puasa

sabtu lepas
Nara Tomyam Pantai Dalam

siakap tiga rasa
kerabu sotong
daging masak merah
ayam golek
sayur campur
telur bungkus
udang celup tepung
3 pinggan nasi

RM117.00
+
akok pantai dalam RM4
onde-onde pantai dalam RM2


+

gatal-gatal badan 3 hari 3 malam.
tobat aku tak pegi makan situ lagi!

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

hari ni- jumaat.
sogo-nama restoran aku dah lupa

garden salad
nasi goreng + ayam garing
2 chicken chop
ice lemon tea
milo ice
oxtail soup

RM73.00

+

2 pieces of cake from secret recipe

tak berbaloi langsung
-servis hancurrrr!!!!! menderita menunggu air tak sampai-sampai.terpaksa cancel choc milkshake dan banana split.
air kosong kena mintak 234 kali...hampeh!!!!

ingatkan kami sorang...ropa-ropanya yang lain siap mengamuk tinggi-tinggi suara lagi..terus mintak bil & chow...

BTW...kami org last keluar restoran sebab dok sembang.

...

minggu depan ada potluck...tak sabaq nak join...boleh ke aku buat mee rebus ya? nanti aku surf kat internet.

Sabtu, 15 Ogos 2009

Muhasabah

.

cermin diri
untuk menjadi diri sendiri

.

Rabu, 12 Ogos 2009

Jelingan Manja

.
gadis cantik
menjeling panjang
memeluk aku
dengan matanya

.

Selasa, 11 Ogos 2009

Terbang

.
kelip-kelip
terbang malam
melintas paya kelam

bintik cahaya
bagai bunga
kemilau di awang-awang
aduh... cantiknya!

hujung daun
embun menitis
jatuh tenang
melata
di rumput segar

malam ini
bagai bersatu
dingin subuh
dan
hangat cahaya
sang kelip-kelip

pabila
mendengar
berpulang diam
pujangga gamelan

tuhan
menanti hujan siang
bagai merindu purnama mengambang
sabarlah

Al-Fatihah
.

Sabtu, 8 Ogos 2009

Al-Fatihah.

.

Entah kenapa akhir-akhir ini banyak berita yang agak menyedihkan tiba-tiba datang.
mula mula MJ. lepas tu kak min.

lepas tu baru dapat tahu almarhum tok guru gamelan aku Dr Arif Ahmad meninggal dunia. ingatkan boleh jumpa beliau masa Festari tahun ni. rupa-rupanya arwah sudah lama menghembuskan nafas terakhir. Allah lebih sayangkan beliau.
hari tu satu hari aku tak ada mood nak buat kerja. sedih.amat sedih.banyak falsafah yang aku belajar dari beliau.bukan setakat belajar ketuk-ketuk gamelan saja.

malah tahun ini aku sudah berura-ura nak mengambil gambar dengan arwah, siap dah keluarkan buku-buku gamelan untuk beliau tandatangani - tapi apakan daya...hasrat aku tak kesampaian.


kelihatan Dr Arif bermain Accordian semasa di Istanbul Turki.


bulan jun masa jumpa dengan fidah dekat masjid india yg turun dari terengganu - fidah ada bertanyakan khabar berita dr arif.aku bilang tahun 2007 adalah jumpa dengan arwah, itupun masa arwah jadi juri untuk Festari. masa itu nampak benar arwah sudah tidak berapa sihat.malah semasa memberi ulasan juri arwah terpaksa dipapah untuk naik ke pentas.sambil minum petang kami ketawa lucu mengingatkan zaman belajar kami dulu. tidak tahu pula yang arwah sudah meninggal dunia pada masa itu.


Kami bermain gamelan semasa Fidah menjadi pengarah projek untuk aktiviti di Kolej YPM UM.


masih aku ingat bagaimana dengan baju basah lenjun dek hujan, kami tetap juga ke studio gamelan yang terletak berdekatan dengan muzium seni asia - demi untuk belajar gamelan. dan aku rasa dari situlah arwah sedar kami ini yang terdiri dari beberapa orang anak muda ini memang mahu bersungguh-sungguh untuk belajar gamelan.

malah arwah jugalah yang banyak membantu ketika aku mula-mula memimpin dan menjadi ketua untuk gamelan kolej kediaman pertama (ASTAR).aku bersama-sama dengan Mat, Mitha dan beberapa orang lagi amat berterima kasih dengan arwah.


Gamelan ASTAR semasa mengiringi Istiadat Konvokesyen UM.


melalui arwah juga jugalah (bersama-sama dengan Encik Affindi), aku dan rakan-rakan yang lain boleh menjejakkan kaki ke bumi Istanbul, Turki. terima kasih banyak-banyak dr.

Gamelan di salah sebuah sekolah di Istanbul sebelah Asia di Turki.


Arwah seperti yang diketahui ramai bukan hanya begitu berminat dan mahir dalam gamelan tetapi begitu juga dengan irama keroncong dan juga irama melayu asli.
Menjadi satu penghormatan buat aku untuk menjadi anak muridnya walau hanya seketika saja.

Buat Profesor Madya Dr Arif Ahmad, al fatihah dari anak muridmu.

.

Ahad, 14 Jun 2009

Dialog Cinta

.
bicara cinta
hanya bermula
dengan diam

terluah rasa cinta
bukan dengan kata

ambil senyumku
dari lirik mata

kecup kening
debar rasa dada

harum rambut
kelopak bunga lima

bibir senyum
gula-gula hati

wangi bau
nikmat rasa!

indah wajah
pandangku tak sudah

sandar jiwa
di bahu manja

biarlah
bicara ini
akan ada
sampai bila-bila
.

Isnin, 8 Jun 2009

Ada Apa Dengan Cinta

...



Hujung bulan nanti aku pindah rumah lagi.
Lelah.
Tapi apakan daya. Sendiri cari pasal.
Kalaulah ada rumah sendiri.
Bahagianya.
Tidak perlu lagi sibuk menelefon lori.
Siap dapat diskaun lagi!




...

Nafas aku sesak minggu lepas dan minggu ini.
merenung mesin berangka-angka
bagai nak juling mata dibuatnya
kalaulah ia secantik Maria Farida
sudah lama aku jatuh cinta
boleh main mata ikut-ikut suka
bila-bila masa. Kalau bos ada pun tidak mengapa
buat tidak kisah saja...
tapi apakan daya - ia hanya mesin tidak berjiwa
tinggallah aku
yang masih cuba mencari (merenung) cinta (komputer)...

kasihan....

...

Khamis, 21 Mei 2009

Baju Kertas

...

memakai baju kertas
putih warna
sedikit carik di hujung lengan
belakang retas benang
butang terjahit songsang
poket berlubang di dada
kolar pun sudah tiada

tapi ini baju aku
biarlah ia terus melekat di badan
tidak rela berdada telanjang

kalau datang hujan
tidak apa
tunggu teduh dulu
kalau panas pula
tak mengapa
peluh ini kering juga

biarlah
ini tetap baju aku
enak dipakai
senang dibuang

ini baju berwarna putih
biar kusam tapi ia bersih

percayalah
ini terbaik untuk aku

...

Selamat Hari Guru

...

Aku hampir terlupa yang bulan ini merupakan bulan untuk meraikan cikgu-cikgu di seluruh Malaysia. Aku langsung tidak sedar sehinggalah aku menjenguk blog Cik Qasih. Terpampang kad ucapan hari guru yang beliau terima pada hari guru yang lepas. Tiba-tiba aku rasa terpanggil untuk mengucapkan 'selamat hari guru' pada mereka yang pernah dan banyak membantu aku untuk menjadi sebagaimana diri aku pada hari ini.

Aku ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih pada semua mereka ini yang banyak berbakti pada aku.

1.Cikgu Kehidupan (Numero Uno) - Ayoh & Mok.
2.Cikgu Tadika Seribong (beserta pembantunya).
3.Cikgu-cikgu Sekolah Kebangsaan Tiong, Kota Bharu
4.Cikgu-cikgu SMK Kota, Kota Bharu
5.Cikgu-cikgu MRSM Pasir Tumboh, Kota Bharu
6.Cikgu-cikgu MRSM Kuala Terengganu, Terengganu
7.Pensyarah-pensyarah Fakulti Undang-undang, UM, KL
8.Pensyarah-pensyarah LANG Education Intelect, Subang Jaya

Istimewa terima kasih untuk:

Profesor Madya Dr Arif Ahmad - Guru gamelan aku
Encik Diani Kasian - Guru seni lakon aku
Profesor Emeritus Khoo Kay Kim - Sejarah Malaysia - aku lihat sejarah dr sisi yg berbeza
Encik Arifin-cikgu martial aku
Cikgu Sarimah-Guru sajak aku
Cikgu Insyirah-My favourite teacher
Profesor Rahman Shaari/En. Zubir Ali-Guru deklamator puisi
Kak Jie-mentor puisi
Encik Effindi - Cikgu 'pergerakan dramatik' aku
Mr Krishnan-Pengurus Operasi Zense Boutique, Bangsar KL.

Juga untuk:
Cik Qasih - rakan yang memilih pendidik sebagai kerjaya.

dan juga semua rakan-rakan lain yang tidak kenal erti lelah untuk terus mendidik dan membina bakal pewaris negara bangsa.

selamat hari guru!

...

Isnin, 18 Mei 2009

malam tadi...

...

malam tadi aku bermimpi

sebutir bintang
jatuh dari langit
lalu tertimpa dahan beringin
yang teduh di tepi lereng kali

aku juga melihat
awan menjadi anak kerdil
yang berlari-lari
bogel dan riang
sebelum menjadi titik noda hujan

ingin sekali
kusambut bintang
menggapai awan
tapi
bagaimana?

...

Emak

...

selamat hari ibu
ku ujar takzim beserta hormat
kata bicaramu penuh azimat
dalam jiwa kusimpan ketat

selamat hari ibu mak
akan kudengar tutur nasihat
walau pahit atau pun kelat
dalam akal kukuh tersemat

mama selamat hari ibu
senyum manismu teringat-ingat
pelukan hangat seerat-erat
dalam hati terus melekat

selamat hari ibu bonda
menjunjung kasih dari anakanda
penawar duka pemberi gembira
pada bonda ku balas cinta

selamat hari ibu wahai Mak Cik Dah
ibu hamba Siti Fatimah
doa anakmu tak sudah-sudah
panjang umur tiada bergundah

selamat hari ibu mok


dari
Rozali
Flora Damansara
15 Mei 2009

...

Jumaat, 8 Mei 2009

Angguk II

...

i
biarlah mereka dengan diri mereka sendiri
yang mengiya-iya siasah negara
yang mengiya-iya politik dunia

ii
biarlah kami dengan diri kami sendiri
yang mengangguk-angguk perintah mereka
yang mengeleng-ngeleng larangan semasa
biarkanlah(?)

iii.
itulah
senario lucu Tanah Mengandung
yang mengiya terus mengiya
dan mengangguk akan tetap mengangguk
sesekali
di tengah-tengah gedung ilmu ini
kami ingin mendongak
walau terus diinjak-injak
agar terus mengangguk-angguk

Mungkin tuan sudah lupa
kami ini generasi pewaris negara
yang harus tahu indah buruknya sebuah pusaka

ketahuilah
kami bukan sesumpah
yang angguknya tidak bermakna apa-apa


(Demonstrasi Mahasiswa/wi UM)
Masjid Ar-Rahman Lembah Pantai
1998

...

Di Kelas

...

malam ini
langit gelap tiada bintang
ruang banyak yang kosong
tiada siapa pun isi
kecuali muka-muka yang terbiasa dengannya
tidak hairanlah
kertas banyak yang robek
dan dirinya terbiar tanpa bersolek
kaku dalam khusyuk
hanya deru kipas berbunyi tak tentu
pun begitu ada lagi yang tidur
tersengih dirinya memerhati
semuanya tidak peduli
hanya kosong mata meliar

malam inilah
Malaysia dan China di separuh akhir
hingga dirinya disisihkan
malam esok mungkin dirinya penuh
atau masih seperti malam ini

(di Kelas 5G sewaktu separuh akhir Piala Thomas)
1994

...

Sepalit Warna

...

delapan pagi
inilah harinya akan bermula
derapan kaki menuju ke bangsal kayu
penuh ceria dan gembira
bagaikan pagi ini pagi mereka
dipuput senyum mekar sentiasa

tugas mereka kesekalian kalinya
mencalit warna menghidupkan bunga
harinya akan disobek lagi
dengan hijau dan dengan ungu
dengan merah dan dengan biru
tiada seri kuninglah warna seteru

pagi hening pagi rahmat
datang menjelma bertiuplah amanat
amanat temurun Cik Siti Wan Kembang

Di sini
cantingan hidup dilukis kembali
sekadar mengingat peristiwa lewat sore
sekadar tamsil untuk anak-anak remaja
seperti hamba

kita dilukis untuk mengenal teladan batik Kelantan
kita dicanting bagai mengagah waktu-waktu sezaman
pucuk rebung mengharapkan kedewasaan
bagai kelopak lima memperlambangkan
keakraban kecintaan kemuliaan kesabaran dan kematangan

lewat senja
enam berdetik merah di senjakala
mereka melangkah pulang
membawa sewarna kelelahan
dan sepuing lumayan

wahai
ketahuilah
aku amat menghargai semua ini

Amran Batek
Kg Ayer Deras Pasir Hor
(Sri Kota Bil 14 94/95)

Tun Ahmad Zaidi

...

Tun Ahmad Zaidi
lembah di pantai ini
telah ujud
tingginya dua Santubong menyayup awan
teduhnya tebaran sayap dua Kenyalang
walau setahun cuma
kau kukuh di Persada Perdana

Tun Ahmad Zaidi
laman ini
dihiasi puspa seribu seroja
semerbak harum melatai dermaga
kamilah anak-anak
yang tahu erti patuh
pada sebuah kebanggaan

Tun Ahmad Zaidi
satu nama penuh bermakna
putera puteri inilah
yang faham maksud satu muafakat
nilai satu kerukunan
dan betapa harga keharmonian
dibajai senyum gelak ceria

Tun Ahmad Zaidi
kekalkan Rumah ini dengan penuh bijaksana
agar utuh dipukul ribut taufan
biar paksinya tegak
meski dilambung gelombang maha durjana
kerana di sini
telah tercipta
seribu satu rencah dan rasa
yang mematangkan hari ini dan esok

Tun Ahmad Zaidi
suatu hari
pasti ada merindui
Rumah yang pernah ditidurnya ini
ketawa dan hiba
di segenap bilik, Muroh dan Sandong

satu nama di Puncak Perdana
sebuah kota hijaunya rimba
bagai jejari yang ke SEPULUH
melengkapkan menyempurnakan.


Majalah TAZ
Sesi 1997/98 Bil 001
Kolej Kediaman Tun Ahmad Zaidi
Universiti Malaya

...

Selasa, 21 April 2009

Kau kerja apa?

...

Ramai bertanya Ambo kerja apa,
tok cekat Ambo nok jawap
nah, nih jawapan :


Project Support
Level PH, Bangunan MING
Analytics & Strategy Department
Credit Approval & Management
Direct Banking & Cards Division
CIMB Bank Berhad

...

Isnin, 20 April 2009

Terjumpa kawan-kawan lama.

...

Malam ini best.
Terjumpa kawan-kawan lama di Facebook. Apa khabar mereka semua? Semuanya sudah menjadi orang yang berjaya.

Aku pula macam mana?

Mungkin selepas ini kita boleh bersua muka, bertukar-tukar cerita bertanya khabar berita.
Rakan-rakan sahabat lama, mungkin akan ada acara pengikat silaturrahim semula.
Kita sama-sama tunggu ya.

Nota kaki
Taka Ra,
ketahuilah aku ini seorang penagih janji dan aku akan tunggu itu sampai bila-bila.

...

Ahad, 19 April 2009

Hati Gelisah

...

gelisah hati
bungkam rasa
sedih diri
paksa gembira
bibir senyum
hati nestapa
pujuklah hati
terima segala

bulan lesu
melihat hati
keras dalam dingin hujan

dari mata
aku selalu terfikir
bila diri akan lebur
tika detik masa
meninggal parut usia
yang semakin jauh

...

Ahad, 5 April 2009

Sajak Form 5

...

BATU RAKIT

nyenyak di Bangsal Buruk Kuala Terangganu
terkerling penyu pilu
melihat anak tidak bercelana
kelabunya keropok lekor
membaca (mengeja?) surat
di Sungai Teresat

aku mampir hari ini
sebungkal kain Cik Siti
setitis peraman bilis
cicipan tandamata
mungkin Seberang Takir bertanya
kaliankah penimbus rezeki di Kuala Abang
di Kedai Payang?

sebenarnya
aku melata di sini
bilis dipanasi Batu Buruk
bukan redup sejuk Tembakah Sekayu
pun bukan tingginya Bukit Puteri

mereka seharusnya berkata
kami sendukan nasib bot penambang
tapi ria itu -
jua adalah kami
kerana besi itulah
penyambung warisan anak-anak kami.

bersyukurlah.



MRSM Kuala Terengganu
1994

...

Khamis, 2 April 2009

syair malam resah

...

malam ini aku bersyair
serangkap tembang sumbang
tentang malam kelam
di tepi sungai hati yang merah marah

bulan dan bintang
juga tidakku temu
walau usai aku berlagu
tentang rasa pedih lirih
bungkam akar fikir
membakar hati nyali

mangli
aku kocak sungai diri
kedip mata fikir
genggam jantung di dada

biar diri kembali menjadi diri
aku ingin lena tidur malam ini

biar enak aku bermimpi

...

Rabu, 1 April 2009

rumah baru

.
Udah lama tidak menjengah di sini. Aku agak sibuk dengan kerja-kerja baru.
Kebelakangan ini banyak benda berlaku. Ada yang best ada yang tak best.
biasalah, nama lagi hidup...

yang menariknya sudah dua malam aku bermimpi. Dan yang peliknya ini sudah dua kali aku alami mimpi yang sama.Pelik bukan?
Mimpi aku mencari rumah baru untuk aku diami.

mungkin udah tiba masa untuk aku mencari rumah sendiri untuk didiami - rumah aku sendiri...

tapi itu mimpi...kalau kembali ke alam realiti itu mustahil sekali...sekurang-kurangnya untuk masa ini.

tak apalah, aku rasa untuk masa ini biarlah aku terus saja diulit mimpi-mimpi ini...
boleh kupejam mata lena dengan senang hati...

...

...

...
berdengkur......

...
sampai pagi
.

Rabu, 18 Februari 2009

DI TEPI POHON KELAPA

...

kera sumbang mendapat bunga
bukan dihidu tapi dimakan hingga sendawa
dijamu pula dengan air kelapa muda
penghilang dahaga... aduh nikmatnya!

kalaulah
bunga itu seorang gadis
dan air itu perawan dara
berikan saja pada aku
jangan bimbang
takkan berlaku apa-apa

wei sang kera
mari
biar kita berganti diri

...

Selasa, 17 Februari 2009

aiseh...meeting lagi

...

Kadavalei...

meeting tak berenti-renti...letih mata aku.

Ahad, 15 Februari 2009

JANGAN GANGGU

Bak po gak
mung maghi dok royat dulu?
Aku tido lagi
gi usik oghe laing dulu
aku nok tido lagi.

ishk...
nnate lipah! mung nok keno rikset ko?
gi nu..!

Sabtu, 14 Februari 2009

Menonton Puteri Sakdung (Saadong?)

Usai mesyuarat lewat senja, aku menapak menuju ke Panggung Bandaraya. Jauhnya hanya sepuluh minit saja dari tempat kerja.

Orang masih tidak ramai.

Aku menunggu di bawah khemah. Duduk-duduk di tepi Seniman Negara Rahman B dan isteri.

Tidak dengar pula butir perbualan mereka. Mungkin aku lebih asyik membelek-belek helaian flyers tentang Anugerah Seniman Negara. Tidak sedar apa yang berlaku sekeliling.

Sebenarnya hajat di hati nak ajak Cik Qasih, Ms Ryann & seorang rakan lagi untuk sama-sama menonton, kebetulan ada hal yang yang lain pula. Tidak mengapalah aku rasa mereka lebih arif tentang jadual persembahan teater ini.

Riuh rendah anak-anak sekolah mula kedengaran di sekitar pintu masuk Panggung Bandaraya.
Aku mengagak mereka ini, pasti akan mencipta ambience yang berbeza semasa menonton teater nanti.


Aku masuk dan bertanya " dik, pamplet ada? dia terpinga-pinga... "flyers ke?" dia masih tak tahu nak jawap apa. "Buku cenderamata?"

Ooo...buku cenderamata...malam ni tak ada." Katanya dengan senyum.


"Tak ada?" tanpa sedar aku jegilkan mata.

"Abang ambil ni lah" sambil mengunjukkan questionaires.

"Tak apa dik" dan aku beredar mencari ruang kosong sementara menunggu pintu dibuka.


Secara jujurnya, aku amat jarang menonton teater bangsawan. Yang ini hanya yang kedua.
yang pertamanya...aduhai...sudah lupa tajuknya...bangsawan dari UM yang dipentaskan di Auditorium DBKL - pasal pertikaman Hang Tuah & Hang Jebat.



Masa itu aku memenuhi undangan sahabat yang berlakon sebagai Hang Tuah.
Hang Jebat pula dilakonkan oleh orang yang sama yang melakonkan watak Jaha dalam filem 'Budak Kelantan'...juga aku lupa namanya. ( apologi, kerana menjadi begitu pelupa...tanda-tanda lanjut usia.)



Kali ini giliran UPSI pula untuk mementaskan bangsawan.
Kebetulan pula, kedua-dua produksi yang aku tonton adalah hasil kerja mereka yang masih bergelar pelajar. Dan aku selalunya teruja melihat pementasan dari pelajar-pelajar. Mengingatkan aku pada zaman belajar dulu-dulu.


OK, pementasan pun bermula...


Betullah, dengan separuh ruang khalayak diisi dengan adik-adik yang lengkap beruniform ini, 'kesedapan' menonton sedikit terganggu.

Dengan 'ulasan selari' dan gelak-gelak adik-adik ini, menyebabkan kadang-kadang aku turut ketawa walau pun pementasan di depan bukan satu komedi atau dialog jenaka.
Terpaksalah sesuaikan diri dengan 'ambience' semacam ini. Malah ada juga yang sempat tidur dan berdengkur dengan kuat sekali.

Mungkin malu sebab aku menoleh dan melihat rakan-rakan mereka sedang lena tidur, salah seorangnya sempat mengejutkan mereka...rupa-rupanya bukan seorang dua, dua barisan ramainya...!
Biarkanlah saja mereka...tidak apa, adik-adik ini masih hijau, masih baru lagi.


Datang dari negeri asalnya cerita ini, mungkin harapan aku agak tinggi untuk melihat produksi ini dipentaskan dengan jayanya.


Sebetulnya, aku hanya menanti 2 peristiwa sahaja dalam cerita Puteri Saadong:


1. Apabila Puteri Saadong mengubati Raja Siam dengan air basuhan kakinya -Raja Siam terpaksa meminum air tersebut.


2. Apabila Puteri Saadong membunuh Raja Abdullah dengan cucuk sanggulnya dan ghaib dari pandangan mata manusia.


Malangnya kedua-dua peristiwa ini telah 'diputihkan' -tidak ada air basuhan kaki dan tidak ada cucuk sanggul senjata yang membunuh. Kenapa ya?


Atau memang tidak ada peristiwa meminum air basuhan kaki dan tikaman cucuk sanggul dalam cerita Puteri Saadong?

Mungkin ada sesiapa yang boleh memberi jawapan?


Yang lain-lainnya, biasa-biasa saja.


Extra turn lebih menghiburkan. Dengan gadis-gadis yang sihat tubuh badannya dan dengan pemuda-pemuda begitu terliuk-liuk patahnya...memang mengundang gelak ketawa kami semua.


Apa-apa pun tahniah untuk UPSI kerana berjaya mementaskan cerita puteri raja dari negeri Ambo ini. Timo kasih.


Nanti buak lagi deh. Bulih Ambo gi lagi.

Salam.

Khamis, 12 Februari 2009

CERITA DUA ADIK

CERITA SATU

Suatu hari adik dari kampung telefon.

"Ayoh nok kecek" katanya

Apa halnya pula? Jarang sekali ayahanda begini.Kecuali kalau ada cerita sedih yang mahu dikhabar berita.

"Li, Rojak keno tukar gi Riyadh, Arab Saudi, bule duo..."
Aku tarik nafas diam-diam.
Lega.
Ingatkan di kampung terjadi apa-apa.



ayahku
biarlah saja adikku pergi ke sana
bila lagi nak kenal dunia?
moga-moga pulang nanti dia akan jadi lebih dewasa
itu harapan kita dan orang lain juga
biarlah ayah
dia sudah besar

diam.
itu tanda ayah setuju

aku juga diam

terdengar suara mak dari belakang
"tanyo gak bilo dio nok kelik, bilo nok nikohnyo?"

Alahai emak (dibaca alamak!)

ayah tergelak saja
cuma yang terkeluar dari mulutnya
"kijo molek-molek Li, cermat sikit guno duit".

"Yo ayoh". dan aku angguk walau ayah tidak nampak.
(dalam hati: simpan duit = cepat kahwin)

"kirim salam ko mok nga Abe Ngoh".

"ho lah, assalamualaikum".

"waalaikumsalam".


klik...
dan diam lagi.

rindu tiba-tiba datang
mahu saja aku terbang pulang
pada saat itu juga

tapi apakan daya
aku hanya punya belalang-belalang kecil
yang juga kecil-kecil lompatnya

tunggulah
aku akan pulang juga.

nota: apa khabar agaknya adikku yang manja itu?
ini sudah masuk bulan 2.
Mungkin sekarang dok tengah mengorat awek-awek arab di sana...

berbahagialah...! hehehe...

...

CERITA DUA

Musim buah beberapa tahun lepas, berbual-buallah aku dengan salah seorang adik lelakiku.
Rojie namanya.

Entah macam mana, sambil menunggu ayah menyabit dokong untuk diisi ke dalam raga, tiba-tiba dia berkata,

"Kita, kalau nak kahwin carilah perempuan yang nakkan kita, yang sayangkan kita.Baru kekal lama. Bukan kita pula yang tergila-gilakan dia."

Aku hanya mampu tersengih. Aku pandang mukanya juga pada dagunya yang berlekuk (yang dibangga-bangganya itu).
Seorang adik yang hampir sepuluh tahun lebih muda menasihati abangnya yang sudah bergelar bujang tua.

"Aku royat sengoti nih...!". Ujarnya lagi dengan lebih bersungguh-sungguh.

Aku sembunyikan senyum. Cuba untuk tidak ketawa. Saja aku ambil buah dokong yang jatuh dari raga ayah. kupas dan makan buah.

Aku tahu ayah juga mendengar.
Cuma dia mendiamkan diri. Asyik menyabit dokong barangkali.
Takut makin banyak jatuhnya nanti.
Punahlah nanti buah-buah dokong yang sedang mekar.
Atau memang ayah sengaja menyepi diri.
Mahu terus mendengar dua anak bujangnya berbicara.

"Habis, kenapa kau tak kahwin-kahwin lagi?"

"Hehehehe..." adik aku hanya mampu ketawa.
Kali ini dia pula yang mencari-cari buah dokong untuk dimakan.
Aku biarkan saja.

"Ambil raga ni..." ujar ayah sambil menurunkan raga sarat buah ranum tinggi dari pokok.
Aku dan adik menyambut raga yang dihulur ayah.

Perbualan kami terbantut di situ saja.

Dan ia belum bersambung sampai ke hari ini...

Pendapat anda bagaimana?

...

KERJA BARU

HARI PERTAMA

Selamat tinggal Ahlong berdaftar
kerjaya aku untuk lima tahun
Kalau jadi YB dah cukup satu penggal
nanti aku kena jadi apa pula?

Kau tunggulah
kalau tidak di sini
kau mesti kena ke sana

itu kata
kawan-kawanku

apa-apalah...asalkan semua orang bahagia.




HARI KETIGA

3 hari punyai boss baru
3 hari juga tidak berbuat apa-apa
kalau di tempat lama mahu sudah kehilangan kerja

cuma kena hadirkan diri
pada mesyuarat yang ntah apa-apa

otak sudah tidak mampu lagi menampung
rasa mengantuk yang teramat.
tersengguk-sengguk mencuba untuk menyembunyi
merah mata

tiba-tiba telefon bergegar!

senyap

ada mesej

dari siapa ya?



Rupa-rupanya boss baru menghantar pesan
ringkas-ringkas sahaja...

"pls go out n wash ur face!!


malu

dapat itu dari boss baru.

Rabu, 11 Februari 2009

Ucapan terima kasih.

Ambo nak ucapkan berbanyak-banyak terima kasih pada :

1. Cik Qasih yang menjadi penyebab semerta untuk Ambo menulis blog.

2.Ms Ryann - yang menjadikan Ambo teruja dengan Stefani & mahu mengikut perkembangan di alam siber ini.

3. Pada Cik Aminah Jazilah yang gigih menulis & terus menulis...Ambo jadi terfikir "aku bila lagi?"

4.penggiat seni yang begitu gigih menulis secara langit terbuka.

5.Individu-individu yang lain juga.

TERIMA KASIH DAUN KELADI.

Mengapa Penunggang Belalang Merah (PBM)?

Assalamualaikum & salam perkenalan,

Niat dua tahun untuk sama-sama di sini akhirnya sudah menjadi kenyataan.

Ambo harapkan agar semua adik kakok saing-saing yang baru dan yang lama suka dengan blog Ambo ni...
al maklumlah Ambo ni 'buah cempedak di luar pagar'...hehehe...
nanti tegur-tegurlah kalau ada apa-apa yang salah dan silap...

_________________ ...

Kenapa Penunggang Belalang Merah?
ceritanya...begini,



PENUNGGANG.
Selama ini memang aku seorang penunggang. Dan sampai bila-bila pun aku akan jadi seorang penunggang. Yang boleh saja ke mana-mana tanpa sekatan apa-apa.

Pengembara barangkali.

Kini pun aku berkelana di kota besar yang penuh kebejatan ini.
Juga tempat agung untuk mencari sesuap nasi pengalas perut.
Aku juga di kalangan mereka.

Sebetulnya ramai yang jadi penunggang.
Bezanya hanya apa yang ditunggang dan jua tempat tujuan.


Tidak mengapa... asalkan semua orang bahagia.



BELALANG.
Sesuailah dengan fizikku...yang kecil ukurannya.
Ingin saja aku memilih geroda - sang burung perkasa kenaikan orang-orang Indera.
Tapi kena sedar diri.
Biarlah aku dengan belalang saja.
Yang penting besar atma jiwa.

elok juga
boleh aku ingat pada Tanah Serendah Sekebun Bunga
pada
padi kuning dan keladi bunting
bau jerami terbakar di tiup angin tatkala senja
juga belalang bakar
kudap-kudap anak-anak kecil
termasuk aku si penunggang berkelana.

Juga sambal belalang masakan bonda
jeliranya makan tika musim bah melanda

Kini untuk menebus 'dosa' meranggoh santapan ini
Aku sumpah belalang-belalang ini biar menjadi binatang sakti!
pembawa kata-kata untuk diperi bari

Ku seru-seru...

"Wahai dikau kenderaan kencana diri
bawalah aku ke mana-mana
dengar kata patuh tuannya"...



Memang aku ditakdirkan untuk menunggang belalang...




MERAH.
Ini warna darah.Kenapa perlu takut pada bau hanyir merah?
Ini warna melayu dan aku tidak malu untuk mengaku yang aku jua seorang melayu.
Ini warna gagah! Memang itu sifatnya...

Mungkin kebetulan, warna Panji Tanah Tumpah Darah juga kesumba merah.
Cuma ada senjata-senjata dan mahkota yang putih bersih di tengah-tengah.
warna jantung, limpa dan hati anak-anaknya barangkali.

moga-moga aku juga begitu
punyai batang tubuh setegap melayu merah
dan miliki jiwa yang putih gagah




Jadi


mahu diceritakan apa lagi...?


nantilah
tunggu cerita-cerita yang lain pula


Ini hanya mukadimahnya sahaja...

Itulah apa yang Ambo maksudkan dengan :

PENUNGGANG BELALANG MERAH.
datang jauh nun dari Negeri Bah Merah.

Wassalam.