Khamis, 3 Mei 2012

DUKA AYAHANDA

 

SINAR HARIAN

 Kaji semula kadar pampasan

KOTA BHARU - Pemilik tanah di Kampung Rupek Tiong di sini, meminta Kerajaan Negeri mengkaji semula kadar pampasan terhadap pengambilan tanah melibatkan 161.8 hektar di kawasan tersebut.

Sehubungan itu, kira-kira 250 pemilik mengadakan demonstrasi secara aman semalam untuk menyuarakan kekesalan berhubung pengambilan tanah kawasan itu bagi tujuan pembangunan.

Penduduk terlibat mahukan Kerajaan Negeri melihat balik kadar bayaran pampasan yang ditetapkan RM70,000 bagi setiap satu ekar, sedangkan dakwa mereka nilaian adalah dijangka mencecah RM1.5 juta seekar.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Mohd Yusoff Mohd Noor berkata, penilaian yang dibuat Kerajaan Negeri terlalu rendah dan mendakwa bayarannya tidak setimpal.

Justeru, pihaknya dan pemilik tanah yang lain bercadang untuk memfailkan kes tuntutan itu di mahkamah bagi mendapat pembelaan.

Seorang pemilik tanah, Wan Ali Wan Mat berkata, sepatutnya perkara tersebut tidak berlaku dan perkara itu perlu diteliti supaya ia tidak menyusahkan rakyat.

“Walaupun saya terpaksa kehilangan tanah tetapi sekiranya bayaran setimpal ia memadai,” katanya ketika ditemui sempena Penerangan Isu-isu Semasa Pampasan Tanah Tidak Setimpal Dengan Pasaran Semasa di sini, kelmarin.

Pemilik lain, Azizah Sulaiman pula berpendapat jumlah pampasan yang ditawarkan itu akan mendapat bantahan semua pemilik tanah dan mengharapkan ada pihak yang boleh membela nasib mereka.

“Kami menuntut Kerajaan Pas Kelantan menyelesaikan segera isu pengambilan balik tanah rakyat terutamanya melibatkan penduduk di Kampung Tiong ini,” katanya.


Kekecewaan yang dihadapi oleh pemilik tanah berkenaan mendapat perhatian Ketua Umno Bahagian Kubang Kerian, Datuk Mohd Fauzi Ismail dan beliau turut bersetuju dengan pandangan penduduk iaitu nilaian tanah ditetapkan oleh pihak berkaitan adalah rendah.