Memaparkan catatan dengan label PUISI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PUISI. Papar semua catatan

Khamis, 23 Oktober 2014

SUDU SENO MENARI


dan dia pun terhenjut-henjut
berhenti
itulah
cara kami tidur malam tadi
terkekeh-kekeh
terjeluak hilai kami

21/02/2014
Sri Permaisuri K.L

SETELAH ADIF PULANG II


malam terang
riang ketilang
lele di ampang
sambal dan ulam-ulam
menjadi dingin dan hitam
adif telah pulang
hingga ke pangkal jalan
sri nilam hilang seorang teman


21/02/2014
Bandar Sri Permaisuri K.L

GERING

aku mahu melihat bintang
diam diam
sorang sorang
aku pingin merenung bulan
sorang sorang
tanpa gangguan

bayu mengelus pipi
mengusik juntai rambut
nol nihil nil
hujan malam
seperti teman
bingit dan ramai
non (nihil nil nol)
aaarghhhhhhhhh.....
kupintal pintal
rambut-rambutku
seluruh bulu-bulu romaku
menjadi sayap sayap hitam
kecil-kecil
bolehku terbang ke awan sedar
mencari jarum di jerami hati
wahai peri yang tertawa
ambillah sayapku
ganti putih kepakmu
yang bernanah merah
siang tadi tersadung dadaku
ada kau jumpa jarum penusuk jantungku?
dan dia tetap tertawa
membawa sayap dari jemalaku
seluruh tubuhku
pergi
nihil nol nil

05/06/2014
Bandar Sri Permaisuri K.L

Mamat Takbai

Masyarakat melayu Selatan Thai di Majalah3..teringat kat gemulah pak menakan,abg kpd ayah.
Kami tidak xsempat nengenali beliau,khabarnya meninggal ditembak soldadu.
Al-Fatihah buat almarhum ayahanda MamatTakbai.Dan salam aidiladha buat sepupu2 yg tidak pernah berjumpa.

06/10/2014

AYAH I

Garau suara ayah
menepuk lembut di bahu kiri
iseng malam dingin
buntang mata santak ke pagi
Benarlah
aku ini seorang pemimpi

Jln Esfahan K.L
11/10/2014

Selasa, 18 Februari 2014

PAUH BUTUT

.
ada waktu
terkenang-kenang
merdu seruling malam
anak-anak kecil ini
bertamu rindu di laman nenda

lelap kami akan resah
dayusunyi mengulit telinga
ralit mata
kantuknya kami tahan
menunggu seru nyaring siul seruling

kata nenda
tidurlah
bunyi itu tidak ada apa-apa
pejamkan saja
nanti lenamu akan datang jua

aku tahu
dia peniup suling
tidak bernota
sendiri-sendiri
tiada berteman
dan 
laparnya diam
dahaganya senyum
atma sepi

langsung
dia berlagu irama malam
lirih beralun berbisik
pada desah gelisah tadi siang
derapnya menyisih
tepian rerumput pudar hijau
segar berembun
berkaca -kaca

langkah memecah hening
aspal berlaga sepatu tempang warna
bertingkah indah
menuju ke simpang tiga
seruling berselang gedik sepatu
memberi erti dendang sayu
pada bibir desir angin

wahai sang peniup lagu
masihkah kau dengan kayu seruling itu
walau aku sudah dewasa
sekali sekala
ingin benar mendengar nada sumbang kayu saktimu
biar aku dibawa semula
pulang merawat asyik di dada
hanyut dengan rindu
pada si dia kampung jauh di ucuk tara

mainkanlah saja aku satu lagu
agar sembuh redam di jiwa
biar segar segala maknika
moga reda debar gulana
nanti lega ringan rasa kepala
kena angin cerah kedua mata

aduhai
untuk penyair itu
aku berikan dia
setangkai hati besar nyali
kerna memberikan aku
lega tidur jendera malam
dan kenang-kenangan kasih
gemulah nenda berdua

selamat malam
sang peniup tanpa rupa

Selasa, 12 Julai 2011

BERSIH

.
Petang Kuala Lumpur

langit itu terkoyak
menjadi burung-burung kecil dan ramai
pancawarna dan siul-siul kecil
terbang bersayap bertebar lebar

burung-burung
menongkah awan
simpang siur
menuju segala serata

itu bencana!
kata pembesar perkasa
bukan
itu bala
ujar menteri perdana
kita lawan jangan bagi muka
tingkah orang-orang muda

siap siaga
burung itu kita gempur

jangan!
lihat dulu itu burung
dengar dulu merdu siul
siapa tahu
itu bukan bala bencana
perlu jua dibagi muka

pak tani:
itu senjata
untuk pemakan umbut padi muda
kicaunya kami suka
tanda pagi turun menoreh
juga lauk percuma
untuk anak-anak kami
tika musim tengkujuh dan hujan menggila
janganlah tempur itu burung
mungkin mereka penyelamat
pohon padi perdu getah


orang bandar:
tunggu dulu
kami juga perlukan mereka
tiada mereka siapa penghibur hati kalau berduka?
nanti
kami hanya melihat mereka
di Taman Tasik Perdana sahaja

terkurung dan tersiksa
siapa yang mahu?
cubalah anda seperti itu

biarkan saja

burung itu dari langit
warna putih
itu tanda bersih

9 Julai 2011

Sabtu, 26 Februari 2011

SUNYI 3 BULAN

.
aku
sembunyi
dari
mata
dan
hati
untuk
memerhati

1 bulan
untuk memejam mata

1 bulan mencari cinta

dan
1 bulan mengeram butir kata-kata

juga belalangku perlukan rehat juga
untuk terus kami mengembara
di sini
di ruang alam maya ini
.

dan kini aku kembali...
secara sederhana dan rendah rasa

kubukakan kotak akal
dan tutup bicara

untuk kita kongsi
bersama rasa...

Selasa, 26 Oktober 2010

KELANTAN vs NEGERI SEMBILAN

.
hari ini
belalangku memanggil aku terbang
tinggi ke bukit melihat gemuruh laut merah
negeri tumpah darah berkampung untuk maruah
usai dua puluh empat purnama
kita mengadap kembali!
sebagai lelaki berani
turun ke gelanggang untuk kesekian kali

wahai pahlawan berbaju merah
ayuh!
kamu itu pejuang
dan kami akan mengaum bergegar-gegar langit
membakar semangat tuan-tuan
anak-anak merah kijang

jangan bimbang
ini aku
sang penunggang belalang
akan terus di belakang
bertempik meraung mengobar angin orang Kelantan
kalau tidak aku si anak Cik Siti Wan Kembang
siapa lagi?

Cah keting haipp...!!!!

Ahad, 3 Oktober 2010

YONG SELUWATI & KHAIRUL

kenduri besar di kampung sayong
bot ditambang jeti kuala
gadis riang namanya eiyong
khairul manis, segaklah pula

senyum meleret pengantin baru
berinai-inai semerah hati
hati berdebar diseru-seru
diijabkabul teruna sunti

baju perak bersanggul lintang
sampin diikat belah di tepi
jagalah adik bagai ditatang
patuhlah abang seikhlas hati

kalau hendak songket kebaya
biar dipakai berdua-dua
kalau hendak bersatu lama
biarlah hidup bersama lama

suap menyuap tersipu malu
makan berhidang enaknya rasa
moga gembira ke anak cucu
umur panjang bahagia sentiasa

bunga telur ikat sejambang
ole-ole sahabat taulan
bila kasih sudah berkembang
bagai pungguk rindukan bulan

ada apa di balik kelambu
nampak samar dalam terang
ada apa dalam kalbu
dua hati bersatu tenang

ada apa dalam kalbu
kerna kasih berahi dendam
adik cantik baiknya laku
kasih abang tak kunjung padam

kalau hendak ke kuala kangsar
jangan lupa ke sayong mesjid
takhta dibina amatlah besar
bagai berdiri sebuah masjid

Yong, selamat membina generasi baru

razali isa
2.10pm 11 Januari 2006
SBB Damansara Heights
Kuala Lumpur

Khamis, 16 September 2010

ESOK

.
kalau esok aku menjadi tanah
biar panas berteduh lembayung kemboja
redup dari bahang dosa lalu
untuk aku damai tenang di sana

Sang Pencipta
kerdil aku
memuji-Mu
lemah aku
di sisi-Mu
hidupku
bernyawa rahmat-Mu
matiku
mohon iman dari-Mu

aku ini kecil...

Isnin, 30 Ogos 2010

TIDAK BERTEMU

.
Kata Dia :
tika malam menjelma menggantikan siang
bulan pula muncul di tengah keheningan malam
kala ku lihat bulan
wajahmu terbayang dalam ingatanku
selamat malam
27/8/10 10.54pm

Kata Aku :
mentari siang datang!
wajahku masih di bulan?
di awan berbayang rindu
aku lihat wajah kamu
bukan dengan mata tapi dengan hati
degupnya mengusir lelap
menyapa salam pada cintahati
28/08/10 12.03pm


...dan hati kami berbunga-bunga
untuk rasa rindu itu...

.

Selasa, 17 Ogos 2010

MENANAM PINANG

.
rendang kena dengan kerisik
buah kuini getahnya hilang
orang di sana minta dirisik
orang di sini suka kepalang

hati-hati menanam pinang
takut dekat dengan telaga
hajat di hati nak masuk meminang
syawal dekat raya kedua

.

Isnin, 12 Julai 2010

SETELAH ANDRE PULANG


.
selamat jalan sahabat
anak muda Kota Kembang
rindu Parijs Van Java
tanah tempat tumpah darah

dulu di Gegerkalong
aku menjadi Sangkuriang
mencari berahi Dayang Sumbi
dalam nafas Kota Bandung
di Pasar Pagi dan segar Ciater
nyaman dan nikmat

kini
dia pula di Kuala Lumpur
melihat kembang -kembang kota kami
ziarah mesra kenalan semua
berkendong senyum tandamata riang

tapi itu seketika saja
esok dia pulang

selamat berangkat wahai kawan
sampai di sana ingatlah kami
teman teman di seberang
kuberi ingatan kasih dari hati
cicipan kenangan dibawa pulang

nantilah Andre
kamu mesti kembali
untuk rindu rindu kami ini
nyanyi nyanyi enak
dan makan sedap sedap
juga libur libur hangat
dan senang senang rehat

mesti datang lagi ya... :p
.

Rabu, 16 Jun 2010

MALAM KELAM III

.
hujan sunyi
renyai dari suram hati
basah alis mutiara berkaca
l
u
r
u
h
menjadi rumput segar

ber
HIMPUN
menjadi tasik kasih

untuk memberi senyum pada bulan
di tepi bintang kelam
memberi ketawa pada mata
biar terlihat manisnya wajah bulan
hujung malam suram ini

Isnin, 7 Jun 2010

MARMARA BIRU YANG MERAH

.


Tiada apa yang biru
wahai telukku
kalau merah itu
menghambur deras dari hidung
tubuh lemah Rachel Corrie




tiada apa nan biru
ahoy lautku
jika darah itu
menjadi air merah mengalir lesu di bumi Gaza



sahabat Freedom Flotilla
ingin saja kupujuk
jangan berduka
biar
mata bergenang di tubir hiba
kuatlah semangat sekeras waja
untuk mereka di Tebing sana
(juga untuk hati seperti aku)
berikan pada dunia
kasih manusia untuk dikongsi diderma




Al-fatihah untuk sahabat bersembilan
gugur syahid di bumi Tel Aviv
sesungguhnya Tuhan itu Maha Besar
(Allahuakbar!)



.

Isnin, 8 Mac 2010

PERANG SAADONG

.

berikan dia kerambit
gagang putih gigi beram
tebuk kelarai liuk segenggam
berganti tiada
lawi pendek bulan sabit
lentik rambai berkokok jantan
simpai rotan kejap penumbuk

berhelah baginda
cucuk sanggul telangkup perak
selit tanjung jurai kepala

hening

bening itu tidak lama
malam ini malam perang!
tikam amuk subuh berdarah
tersembur air pinang celaka
cindai bertukar merahmarah
setangan di kaki
capal di kepala
gegak di air gempita udara
siaga sang tuan puteri
melarik tumbuk lada
dada kedal seorang raja
kalau sabar tiada di jiwa

berperilah tuanku baginda puteri
ampun tuanku
hamba beri air ini
lega penyakit aib diri
percik sakti dari jari kaki
buat minum sakit tawari
hiruplah
air kelat basuhan ini

ucuk tara kota mahligai
sang kekasih menunggu
berminum madu berulam muda
pahitnya peroman muka!

di bumi cerang tegayung
cucuk sanggul keluar jua?
.

Rabu, 3 Mac 2010

ADIK FARRAH II

.

dia
gadis manis
duduk malu
berbangku senja
ralit melihat-lihat
kembang kembang puspa
lewat merah langit senjakala

dan
dia senyum
terlihat kumbang mencium bunga
memadu asmara
di jambak mekar kelopak seroja

barangkali
dia rindu
pada air
jatuh dari kudup mawar
segar
merah muda
bagai hati

asyik dalam diam

embun pagi
hilang mengewap aspal hangat
memeluk bayang seorang kekasih

dan dia senyum pada rindu

rumput basah
jalan hijau rimbun
menghantar hati
yang telah lama sedih
pulang mencari pecinta malar kasih
.

DAERAH SUNYI

.

selamat
wahai daerah sunyi
bencana bisu menderam jauh
balik bukit hujung tenggara
lolong sayup menghilang jejak

bunga jadi layu
kering kasih
telaga tiada
tidak berkarai air di timba
lesu JIWA

tenaga sudah di hujung jari
geletarnya aku sembunyi

jalan merah
bergantung di celana
becaknya aku bawa pulang
biar anak-anakku lihat dan faham
jalan mana harus mereka tahu
mencari bunga layu
yang harus mereka siram
.

Sabtu, 27 Februari 2010

PUJUK


KATA PUNGGUK.




rayuku padamu Bulan
usah menangis malam ini
nanti tidur kita tidak lena
resah hati nanti gelisah
merenung mendung Purnama berbayang bintang
langsung tidak berkelip
bagai mati atma jiwa raga
melihat wajahmu berduka luka



pesanku padamu Bulan
jangan bersedih malam ini
izinku kuak awan di mukamu
biar ayu terpercik di dada malam
nantiku beri kalbuhati
yang ku basuh dengan merah berahi
siang hari tadi.

untuk Din, Rayner, Sepul, Mus, Fahmy, Rezal, Riyadh, Roger, Along,Jawal & Paul
UMLawStudents_97
7.28pm Menara SBB, 22 Februari 2007