Khamis, 21 Mei 2009

Baju Kertas

...

memakai baju kertas
putih warna
sedikit carik di hujung lengan
belakang retas benang
butang terjahit songsang
poket berlubang di dada
kolar pun sudah tiada

tapi ini baju aku
biarlah ia terus melekat di badan
tidak rela berdada telanjang

kalau datang hujan
tidak apa
tunggu teduh dulu
kalau panas pula
tak mengapa
peluh ini kering juga

biarlah
ini tetap baju aku
enak dipakai
senang dibuang

ini baju berwarna putih
biar kusam tapi ia bersih

percayalah
ini terbaik untuk aku

...

Selamat Hari Guru

...

Aku hampir terlupa yang bulan ini merupakan bulan untuk meraikan cikgu-cikgu di seluruh Malaysia. Aku langsung tidak sedar sehinggalah aku menjenguk blog Cik Qasih. Terpampang kad ucapan hari guru yang beliau terima pada hari guru yang lepas. Tiba-tiba aku rasa terpanggil untuk mengucapkan 'selamat hari guru' pada mereka yang pernah dan banyak membantu aku untuk menjadi sebagaimana diri aku pada hari ini.

Aku ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih pada semua mereka ini yang banyak berbakti pada aku.

1.Cikgu Kehidupan (Numero Uno) - Ayoh & Mok.
2.Cikgu Tadika Seribong (beserta pembantunya).
3.Cikgu-cikgu Sekolah Kebangsaan Tiong, Kota Bharu
4.Cikgu-cikgu SMK Kota, Kota Bharu
5.Cikgu-cikgu MRSM Pasir Tumboh, Kota Bharu
6.Cikgu-cikgu MRSM Kuala Terengganu, Terengganu
7.Pensyarah-pensyarah Fakulti Undang-undang, UM, KL
8.Pensyarah-pensyarah LANG Education Intelect, Subang Jaya

Istimewa terima kasih untuk:

Profesor Madya Dr Arif Ahmad - Guru gamelan aku
Encik Diani Kasian - Guru seni lakon aku
Profesor Emeritus Khoo Kay Kim - Sejarah Malaysia - aku lihat sejarah dr sisi yg berbeza
Encik Arifin-cikgu martial aku
Cikgu Sarimah-Guru sajak aku
Cikgu Insyirah-My favourite teacher
Profesor Rahman Shaari/En. Zubir Ali-Guru deklamator puisi
Kak Jie-mentor puisi
Encik Effindi - Cikgu 'pergerakan dramatik' aku
Mr Krishnan-Pengurus Operasi Zense Boutique, Bangsar KL.

Juga untuk:
Cik Qasih - rakan yang memilih pendidik sebagai kerjaya.

dan juga semua rakan-rakan lain yang tidak kenal erti lelah untuk terus mendidik dan membina bakal pewaris negara bangsa.

selamat hari guru!

...

Isnin, 18 Mei 2009

malam tadi...

...

malam tadi aku bermimpi

sebutir bintang
jatuh dari langit
lalu tertimpa dahan beringin
yang teduh di tepi lereng kali

aku juga melihat
awan menjadi anak kerdil
yang berlari-lari
bogel dan riang
sebelum menjadi titik noda hujan

ingin sekali
kusambut bintang
menggapai awan
tapi
bagaimana?

...

Emak

...

selamat hari ibu
ku ujar takzim beserta hormat
kata bicaramu penuh azimat
dalam jiwa kusimpan ketat

selamat hari ibu mak
akan kudengar tutur nasihat
walau pahit atau pun kelat
dalam akal kukuh tersemat

mama selamat hari ibu
senyum manismu teringat-ingat
pelukan hangat seerat-erat
dalam hati terus melekat

selamat hari ibu bonda
menjunjung kasih dari anakanda
penawar duka pemberi gembira
pada bonda ku balas cinta

selamat hari ibu wahai Mak Cik Dah
ibu hamba Siti Fatimah
doa anakmu tak sudah-sudah
panjang umur tiada bergundah

selamat hari ibu mok


dari
Rozali
Flora Damansara
15 Mei 2009

...

Jumaat, 8 Mei 2009

Angguk II

...

i
biarlah mereka dengan diri mereka sendiri
yang mengiya-iya siasah negara
yang mengiya-iya politik dunia

ii
biarlah kami dengan diri kami sendiri
yang mengangguk-angguk perintah mereka
yang mengeleng-ngeleng larangan semasa
biarkanlah(?)

iii.
itulah
senario lucu Tanah Mengandung
yang mengiya terus mengiya
dan mengangguk akan tetap mengangguk
sesekali
di tengah-tengah gedung ilmu ini
kami ingin mendongak
walau terus diinjak-injak
agar terus mengangguk-angguk

Mungkin tuan sudah lupa
kami ini generasi pewaris negara
yang harus tahu indah buruknya sebuah pusaka

ketahuilah
kami bukan sesumpah
yang angguknya tidak bermakna apa-apa


(Demonstrasi Mahasiswa/wi UM)
Masjid Ar-Rahman Lembah Pantai
1998

...

Di Kelas

...

malam ini
langit gelap tiada bintang
ruang banyak yang kosong
tiada siapa pun isi
kecuali muka-muka yang terbiasa dengannya
tidak hairanlah
kertas banyak yang robek
dan dirinya terbiar tanpa bersolek
kaku dalam khusyuk
hanya deru kipas berbunyi tak tentu
pun begitu ada lagi yang tidur
tersengih dirinya memerhati
semuanya tidak peduli
hanya kosong mata meliar

malam inilah
Malaysia dan China di separuh akhir
hingga dirinya disisihkan
malam esok mungkin dirinya penuh
atau masih seperti malam ini

(di Kelas 5G sewaktu separuh akhir Piala Thomas)
1994

...

Sepalit Warna

...

delapan pagi
inilah harinya akan bermula
derapan kaki menuju ke bangsal kayu
penuh ceria dan gembira
bagaikan pagi ini pagi mereka
dipuput senyum mekar sentiasa

tugas mereka kesekalian kalinya
mencalit warna menghidupkan bunga
harinya akan disobek lagi
dengan hijau dan dengan ungu
dengan merah dan dengan biru
tiada seri kuninglah warna seteru

pagi hening pagi rahmat
datang menjelma bertiuplah amanat
amanat temurun Cik Siti Wan Kembang

Di sini
cantingan hidup dilukis kembali
sekadar mengingat peristiwa lewat sore
sekadar tamsil untuk anak-anak remaja
seperti hamba

kita dilukis untuk mengenal teladan batik Kelantan
kita dicanting bagai mengagah waktu-waktu sezaman
pucuk rebung mengharapkan kedewasaan
bagai kelopak lima memperlambangkan
keakraban kecintaan kemuliaan kesabaran dan kematangan

lewat senja
enam berdetik merah di senjakala
mereka melangkah pulang
membawa sewarna kelelahan
dan sepuing lumayan

wahai
ketahuilah
aku amat menghargai semua ini

Amran Batek
Kg Ayer Deras Pasir Hor
(Sri Kota Bil 14 94/95)

Tun Ahmad Zaidi

...

Tun Ahmad Zaidi
lembah di pantai ini
telah ujud
tingginya dua Santubong menyayup awan
teduhnya tebaran sayap dua Kenyalang
walau setahun cuma
kau kukuh di Persada Perdana

Tun Ahmad Zaidi
laman ini
dihiasi puspa seribu seroja
semerbak harum melatai dermaga
kamilah anak-anak
yang tahu erti patuh
pada sebuah kebanggaan

Tun Ahmad Zaidi
satu nama penuh bermakna
putera puteri inilah
yang faham maksud satu muafakat
nilai satu kerukunan
dan betapa harga keharmonian
dibajai senyum gelak ceria

Tun Ahmad Zaidi
kekalkan Rumah ini dengan penuh bijaksana
agar utuh dipukul ribut taufan
biar paksinya tegak
meski dilambung gelombang maha durjana
kerana di sini
telah tercipta
seribu satu rencah dan rasa
yang mematangkan hari ini dan esok

Tun Ahmad Zaidi
suatu hari
pasti ada merindui
Rumah yang pernah ditidurnya ini
ketawa dan hiba
di segenap bilik, Muroh dan Sandong

satu nama di Puncak Perdana
sebuah kota hijaunya rimba
bagai jejari yang ke SEPULUH
melengkapkan menyempurnakan.


Majalah TAZ
Sesi 1997/98 Bil 001
Kolej Kediaman Tun Ahmad Zaidi
Universiti Malaya

...