Isnin, 11 Januari 2010

Penunggang Belalang.

.

Malam tadi aku bemimpi lagi.

Tentang enak sambal belalang yang aku makan. Dan bau jerami padi terbakar di padang paya di tepi rumah Mak Ngah. Juga bau ayah bekeringat yang baru memukul padi tadi setelah balik mencerut rumput untuk lembu yang ditambat di gook. Sambil lalu dapur belakang rumah tempat mak yang tengah sibuk memasak untuk makan malam.

Aku juga terdengar suara mak di dapur. Sedang menggoreng ikan pelata kering dan mengacau kuah ikan singgang, sambil bersuara kuat menyuruh Kak Yah mengangkat kain dari tali ampaian di belakang rumah.

Aku menjadi pemerhati. Yang aku sendiri tidak sedari. Terasing seolah-olah mereka tidak sedar aku hadir di situ. Aku lihat mata mak. terbayang di redup mata mak rasa lelah dan penat seorang ibu. Mak bagai tidak nampak aku di situ. Berdiri mengiring membelakangi mangkuk sinki yang diampu rak kayu buatan ayah.

Aku berdiri senget di tepi jendela sebelah kiri sinki, sambil memandang rumah Pak Him dan Mak Mah - jiran kami. Aku juga dapat lihat betapa masam mencentumnya muka Kak Yah kerana di suruh angkat kain dari tali jemuran. rela dalam paksa. Kalau tidak diangkat kain itu, kain batik mana lagi yang hendak di pakai? itu saja kain batik yang ada untuk dibuat basahan. Basah kalau hujan turun nanti. Lagi pun hari sudah mulai merangkak ke senja.

Puas melihat Kak Yah dan mukanya itu, aku melompat-melompat kecil menuju ke atas rumah. Melihat adik-adik aku yang masih kecil dan comel bermain-main ultraman dan superman.
Kali ini aku bagai melayang-layang, terawang-awang. Hampir-hampir menyentuh atap bata di atas kepala. Mereka tertawa-tawa dan mengusik-ngusik sesama mereka. Membuat aku ketawa juga. Tidak sedar yang aku sebenarnya tiada di sana. Hanya melihat mereka dalam mimpi saja.

Asyik melihat adik-adik, tiba-tiba aku terdengar derap kaki di pintu depan. Terkuak pintu, Abang Ngah dengan laju menapak menuju ke dapur. Di tangannya terjinjing dua tiga ekor ikan darat hasil menahan taut di padang bawah lembah. atau mungkin dia menahan pukat di tebing baruh,tempat dia dan rakan-rakan bermain air musim-musim bah serupa ini.
Aku mengintai-intai ikan apa yang Abang Ngah dapat. Dapatlah dia ikan keli dua ekor, ikan haruan besar betis seekor dan ikan puyu pun ada dua tiga ekor. Bolehlah mak buat lauk masa-masa musim bah ini.

Aku masih melayang-layang. Cuba juga untuk menjejak kaki ke lantai rumah tapi sekuat mana aku mencuba, sekuat itu juga aku naik kembali terawang-awang di atas angin.

Bunyi riuh di dapur - mak tak sir menyiang ikan darat. Kak Yah juga begitu. Ayah masuk campur. "Hanyirnya sekejap saja" kata ayah. "Gi ambik daun pisang dengan daun limau purut nu. Sambil siang sambil gaha"-kata ayah lagi. Dan mak mengalah sambil Kak Yah keluar ikut pintu dapur pergi mencari daun pisang dan juga daun limau purut. Aku tersengih. Dan Abang Ngah pun tersengih juga. Dapat juga dia merasa ikan keli goreng malam ini.

aku cuba menunduk untuk melihat mak menyiang ikan darat. Mana tahu, malam nanti boleh pula minta mak pergi menyuluh belalang di padang paya. Nanti boleh aku makan sambal belalang lagi.

Tapi entah mengapa semakin aku menunduk, semakin susah pula aku melihat mak dan ikan ikan itu. Malah menjadi bertambah kabur. Aku gagahkan juga untuk membongkok. Biar dekat-dekat dengan ikan-ikan darat yang sedang menggelepar menunggu untuk disiang.

Tapi bagai disentap dengan kuat, aku terpelanting tinggi. Baju bagai ditarik sehingga mencekik leher. Aku lawan juga. Siapa yang mahu terpisah dengan keluarga walaupun ia hanya sebuah mimpi? Semakin aku lawan semakin jauh pula aku pergi. aku cuba juga untuk kesekian kalinya. Tapi mana sudah ada tenaga. Aku cuba juga menggapai pucuk kelapa. Tapi tidak cukup tinggi pula. Aku cuba juga berpaut pada awan kelam. Tapi ia mencair di celah-celah jari tangan kiri. Kekok seorang kidal kalau mengguna tangan kanan.

Sayup-sayup aku mendengar pinggan-pinggan nasi berlaga, dan juga suara-suara adik-adik di selang-seli dengan marah Kak Yah. Aku menyapu awan-awan di kiri kanan dari terlindungnya mata. Mendungnya bagai hari nak hujan.

Tapi yang mampu aku lihat hanya atap-atap bata dan suara-suara mereka -suara garau ayah, suara mak yang bagai mengalun lagu, suara marah Kak Yah, suara bergurau Abang Ngah dan gelak-gelak adik aku yang kecil-kecil semuanya....hati menjadi sayu. Tidak sempat menjamah hidangan yang diidam-idam. Apakan daya.

Leher masih tercekik dengan leher baju. Dan rumah kampung kayu itu semakin lama semakin jauh aku tinggalkan. Awan-awan mendung tadi sudah bertukar menjadi manik-manik suram. Bunyi pelaka juga sudah kedengaran.

Bersama-sama dengan titik-titik hujan ini, aku melambai jauh mengucap selamat tinggal.
Nantilah aku kembali lagi untuk betemu kalian. Mungkin dalam mimpi lagi, atau juga di alam yang sudah menjadi realiti.

Nanti di lain mimpi, biarlah aku menunggang seekor belalang kenderaan sakti aku pula. tidak hanya terawang-awang di udara saja, bolehlah aku ziarah nenda-nenda di Putat, ayahanda-ayahanda di Telaga limau dan bonda-bonda di Pauh Butut juga.

.


Penunggang Belalang Merah.
12/01/10

Tiada ulasan: