Isnin, 18 Januari 2010

M. NASIR & PAK DOGO

.
Wak Long:
"aa haa guano Wok Dogo kito ni
doh duo tigo hari berjale ni

make pong dok
dok tahu sapa duano
cubo mu cerito kak ku ni
aku tok pehe ni kito ni"

Pak Dogo:
"jadi begini wok long
mu ni dok kato kan sesat sokmo
mano ada kan sesat
kito orang tuo
bersidi sakti
berdarah putih
berbulu roma songsang
tidak di sesat di tempat sendiri"

Wak Long:
"aaa jadi kalu kito tok sesat gak Pok Dogo
cuba tengok orang lah mari tu
berpakaian nak gi perang ko lagu mano
aku tok reti tengok tu"

Pak Dogo:
"mugo ikut dio nok gi perang nok gi mano pun
kito jangan tanyo dio biar dio maghi tanyo kito"

tabik sikit berjalan pengasuh
kalau banyak berlari

arak tiba
menuju
ai di padang luas saujana padang
mek weii....

rindu menikam dek cinta Sita
hilang bekas hilang sisa amarah
bongkar akar bongkar mimpi Suralaya
datang bingung berpaluan diambang yuda
ajak menung bawah panji wilmana
apa hikmah tersemat di balik perintah!

Pak Dogo:
"buke dio masuk bertanyo tu
jadi mu jawab bagitau dio sapo kito"

Wak Long:
"ha yo lah"

temu hulu hilir menyusur
adat hidup temukan mati
jangan tuan terus masygul (duk nengu sugul )
adat wira harus tahan uji

ae eeeiii

Wak Long:
"hahha guano pok dogo
agok dio pehe ko hok aku ghoyat tu"

Pak Dogo:
"ho gak tok pehe bakpo
nyo pehe la"

ya kalau begitu aku berjanji
hadapan temanku yang berperkerti tinggi
titian takdir seruncing mana pun ku seberangi
di mulut naga gemala sakti terkunci
kan ku sambar ku rampas jadikan bukti

langgam Dogol langgam keramat
bisik-bisik dalam kelambu
lagak bodoh tapi bersengat
beler ngelik (sambil elak ) dia main siku

Pak Dogo:
"jadi buke kato kito sajo oghe biso
demo ni pun oghe titih baik
bako molek ni
jadi jange buat terbolah sangat denga dio"

Wak Long:
"aeh aku tok wat terbolah
hak kalo biso aku biso jugo
k"

riwayat bermula dari dahulu
pandang belakang tersangatlah jauh
Perlu menyilang irama dengan lagu
kapal belayar usah dilabuhkan sauh !
asal debu pasti pulang ke debu
dari tegap bertimpuh baik rebah merempuh

Pak Dogo:
"......................................."
"tapi dio oghe bodo pengalaman tak dok"
"......................................"


bersambunglah litar (petir) berdentum dentam
Hujan tak turun laut berlimpahan
ghalit (asyik)merancang dendam seribu malam

koho sie koho bergando rawe
(Siang menerang semakin berganda rawan)

aaee eeeiii

Wak Long:
"hahaa guano pok dogo
hok kato tu
hujan tak turun laut berlimpahan tu
mung pehe ko dok"

Pak Dogo:
"ho tu oghe panggil falsafah
aku pung ngaji jugok"

kerongsang terlekat kerana peniti
hujung pelangi pula sebabkan igauan
tidak terlintas nyawa dipertaruhkan
dikandung badan !
desaat berangan terlepaslah habuan
ikan tak dapat umpan pula hilang

eeeieeei

langgam Dogol langgam keramat
bisik-bisik dalam kelambu
lagak bodoh tapi bersengat
beler ngelik (sambil mengelak ) dia main siku


aeeii...aeeiiiii

LANGGAM PAK DOGO
M Nasir & Loloq.

Ahad, 17 Januari 2010

HUJUNG MINGGU YANG SELESA.

.

Aku berhujung minggu di Selesa Hillhomes, Bukit Tinggi, Bentong, Pahang jumaat dan sabtu lepas.
Bersama-sama dengan rakan-rakan sepejabat berkunjung untuk menyertai Kem Bina Semangat (err...bukan BTN ya...).

Macam-macam aktiviti ada. Tidaklah berat sangat. Bolehlah aku rehatkan diri (dan otak). Tapi yang menyenakkan perutnya pula bila apartment yang aku dok sepanjang dua hari tu, mak aihhh...kalau nak ke sana kena panjat tangga berbillion-billion jumlahnya aku rasa! Mujurlah kawan aku bawak kereta.Boleh aku menumpang dia balik ke bilik. Kalau tak, nak menapak ke sana boleh hilang 10 kg!...

Aktiviti tutup-tutup mata ada.aktiviti buat syarikat ada.main-main bina-bina kiub dan spy pun ada. Tapi yang paling best kena telan api...hehehe. Macam-macam karenah aku boleh tengok masa tu.

Malamnya kami naik ke Genting Highland, empat biji kereta. Kami konvoi ramai-ramai. Naik kat sana tak buat apa pun - cuma jalan-jalan dan ambik gambar jek...jangan ingat yang bukan-bukan ekk...!!

Balik ke apartment dalam pukul 1.30 pagi...terus aku tidurr...esok ada lagi aktiviti.

Tengah hari sabtu, aku bertolak pulang ke KL. Kebetulan kawan aku Adi Zamri datang dari kampung. Sampai jek kat rumah kat Pandan Indah, terus layan dia borak-borak dan surf internet.

Lunch sama-sama dengan dia dan Adif. Dan aku terus ke Hentian Putra. Adi Zamri harus pulang ke Kelantan sebab ahad dia sudah mula kerja.

..ahhhh...dapat SMS dari officemate yang ahad tidak perlu ke office...bahagianya rasa....hehehe....
dan aku senyum sorang-sorang.

herrmm... ini hujung minggu...


...



selesa...



....
sungguh..!!!

... :p


dan aku menjadi seorang yang bahagia...

....

Isnin, 11 Januari 2010

Penunggang Belalang.

.

Malam tadi aku bemimpi lagi.

Tentang enak sambal belalang yang aku makan. Dan bau jerami padi terbakar di padang paya di tepi rumah Mak Ngah. Juga bau ayah bekeringat yang baru memukul padi tadi setelah balik mencerut rumput untuk lembu yang ditambat di gook. Sambil lalu dapur belakang rumah tempat mak yang tengah sibuk memasak untuk makan malam.

Aku juga terdengar suara mak di dapur. Sedang menggoreng ikan pelata kering dan mengacau kuah ikan singgang, sambil bersuara kuat menyuruh Kak Yah mengangkat kain dari tali ampaian di belakang rumah.

Aku menjadi pemerhati. Yang aku sendiri tidak sedari. Terasing seolah-olah mereka tidak sedar aku hadir di situ. Aku lihat mata mak. terbayang di redup mata mak rasa lelah dan penat seorang ibu. Mak bagai tidak nampak aku di situ. Berdiri mengiring membelakangi mangkuk sinki yang diampu rak kayu buatan ayah.

Aku berdiri senget di tepi jendela sebelah kiri sinki, sambil memandang rumah Pak Him dan Mak Mah - jiran kami. Aku juga dapat lihat betapa masam mencentumnya muka Kak Yah kerana di suruh angkat kain dari tali jemuran. rela dalam paksa. Kalau tidak diangkat kain itu, kain batik mana lagi yang hendak di pakai? itu saja kain batik yang ada untuk dibuat basahan. Basah kalau hujan turun nanti. Lagi pun hari sudah mulai merangkak ke senja.

Puas melihat Kak Yah dan mukanya itu, aku melompat-melompat kecil menuju ke atas rumah. Melihat adik-adik aku yang masih kecil dan comel bermain-main ultraman dan superman.
Kali ini aku bagai melayang-layang, terawang-awang. Hampir-hampir menyentuh atap bata di atas kepala. Mereka tertawa-tawa dan mengusik-ngusik sesama mereka. Membuat aku ketawa juga. Tidak sedar yang aku sebenarnya tiada di sana. Hanya melihat mereka dalam mimpi saja.

Asyik melihat adik-adik, tiba-tiba aku terdengar derap kaki di pintu depan. Terkuak pintu, Abang Ngah dengan laju menapak menuju ke dapur. Di tangannya terjinjing dua tiga ekor ikan darat hasil menahan taut di padang bawah lembah. atau mungkin dia menahan pukat di tebing baruh,tempat dia dan rakan-rakan bermain air musim-musim bah serupa ini.
Aku mengintai-intai ikan apa yang Abang Ngah dapat. Dapatlah dia ikan keli dua ekor, ikan haruan besar betis seekor dan ikan puyu pun ada dua tiga ekor. Bolehlah mak buat lauk masa-masa musim bah ini.

Aku masih melayang-layang. Cuba juga untuk menjejak kaki ke lantai rumah tapi sekuat mana aku mencuba, sekuat itu juga aku naik kembali terawang-awang di atas angin.

Bunyi riuh di dapur - mak tak sir menyiang ikan darat. Kak Yah juga begitu. Ayah masuk campur. "Hanyirnya sekejap saja" kata ayah. "Gi ambik daun pisang dengan daun limau purut nu. Sambil siang sambil gaha"-kata ayah lagi. Dan mak mengalah sambil Kak Yah keluar ikut pintu dapur pergi mencari daun pisang dan juga daun limau purut. Aku tersengih. Dan Abang Ngah pun tersengih juga. Dapat juga dia merasa ikan keli goreng malam ini.

aku cuba menunduk untuk melihat mak menyiang ikan darat. Mana tahu, malam nanti boleh pula minta mak pergi menyuluh belalang di padang paya. Nanti boleh aku makan sambal belalang lagi.

Tapi entah mengapa semakin aku menunduk, semakin susah pula aku melihat mak dan ikan ikan itu. Malah menjadi bertambah kabur. Aku gagahkan juga untuk membongkok. Biar dekat-dekat dengan ikan-ikan darat yang sedang menggelepar menunggu untuk disiang.

Tapi bagai disentap dengan kuat, aku terpelanting tinggi. Baju bagai ditarik sehingga mencekik leher. Aku lawan juga. Siapa yang mahu terpisah dengan keluarga walaupun ia hanya sebuah mimpi? Semakin aku lawan semakin jauh pula aku pergi. aku cuba juga untuk kesekian kalinya. Tapi mana sudah ada tenaga. Aku cuba juga menggapai pucuk kelapa. Tapi tidak cukup tinggi pula. Aku cuba juga berpaut pada awan kelam. Tapi ia mencair di celah-celah jari tangan kiri. Kekok seorang kidal kalau mengguna tangan kanan.

Sayup-sayup aku mendengar pinggan-pinggan nasi berlaga, dan juga suara-suara adik-adik di selang-seli dengan marah Kak Yah. Aku menyapu awan-awan di kiri kanan dari terlindungnya mata. Mendungnya bagai hari nak hujan.

Tapi yang mampu aku lihat hanya atap-atap bata dan suara-suara mereka -suara garau ayah, suara mak yang bagai mengalun lagu, suara marah Kak Yah, suara bergurau Abang Ngah dan gelak-gelak adik aku yang kecil-kecil semuanya....hati menjadi sayu. Tidak sempat menjamah hidangan yang diidam-idam. Apakan daya.

Leher masih tercekik dengan leher baju. Dan rumah kampung kayu itu semakin lama semakin jauh aku tinggalkan. Awan-awan mendung tadi sudah bertukar menjadi manik-manik suram. Bunyi pelaka juga sudah kedengaran.

Bersama-sama dengan titik-titik hujan ini, aku melambai jauh mengucap selamat tinggal.
Nantilah aku kembali lagi untuk betemu kalian. Mungkin dalam mimpi lagi, atau juga di alam yang sudah menjadi realiti.

Nanti di lain mimpi, biarlah aku menunggang seekor belalang kenderaan sakti aku pula. tidak hanya terawang-awang di udara saja, bolehlah aku ziarah nenda-nenda di Putat, ayahanda-ayahanda di Telaga limau dan bonda-bonda di Pauh Butut juga.

.


Penunggang Belalang Merah.
12/01/10

Ahad, 10 Januari 2010

JANUARI YANG BINGUNG

.

Malam ini hujan lagi. Aku masih terkebil-kebil melihat dinding putih kosong sambil mengiring menjauh dari kotak TV. Sangka aku dengan merenung dinding tidak bernyawa itu bolehlah melelapkan mata aku yang tidak mengantuk ini. Malangnya itu tidak berlaku sama sekali.

Esok aku bertemu janji dengan kawan-kawan, tapi mata ini belum dapat dipejamkan lagi.
Entah sempat aku bangkit untuk menepati janji esok nanti.

Aaarrrggg...
Memang. Januari ini memang Januari yang bingung. Bingung segala-galanya. Ingin saya aku bangun dan berteriakhingar, biar semua orang mendengar lolongan suara gasar ini. Peduli apa aku... Biar pecah gegendang telinga. Biar kacau mimpi tidur mereka. Biar bangkit anak-anak kecil semua...peduli apa aku...

Tapi itu semua hanya akan berlaku dalam mimpi saja. Selagi aku boleh berfikir secara waras, tidak aku berbuat demikian. Dan secara logiknya pula tidak akan ada sesiapa pun yang akan pedulikan teriakan aku itu nanti.

Januari ini Januari yang bingung.

Mungkin aku tolol untuk mengerti Januari ini. Tidak mengapa. Aku akan cuba memahami Januari ini. Dan ia akan bermula pada saat dan waktu ini juga.

Tapi aku akan tidur dulu. Sebelum aku mencuba untuk memahami Januari.
Tunggu saja aku esok.
.

Sabtu, 9 Januari 2010

Kenapa Mesti Begini?

.

Aku teramat jarang mengikuti berita-berita semasa di TV. Suratkhabar yang aku baca pun hanyalah The Sun. Jadi cuti hari ni barulah aku perasan betapa seriusnya masalah penggunaan kalimah Allah di Malaysia.

Aku tidak mahu bercakap pasal boleh atau tidak pengunaan kalimah tu kat blog aku ni. Cuma aku berasa amat sedih bila berlakunya tragedi pembakaran gereja dua tiga hari lepas. Kenapalah buat macam tu? Betul-betul memalukan orang Islam saja. Aku tidak nampak dengan membakar bangunan boleh menyelesaikan masalah ni (kecuali kalau towkey kedai perabot yg nak bankrap laa...).

Cuma aku nak tahu siapa mereka ini?

NGO-NGO Islam?
oang-orang politik? UMNO? PKR? PAS? atau sapa?
sheikh-sheikh agama?
ketua-ketua tarekat?
golongan-golongan tabligh?
pesatuan-persatuan pelajar?
ATAU SIAPA???

walau siapa yang melakukan ini. Mereka itu arrogant. Dan aku yakin ini juga amat bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam itu sendiri. Masih banyak jalan lain yang tebuka luas untuk menyelesaikan masalah ini. Tapi kena dengan membakar rumah ibadat orang lain?
Bayangkan kalau orang lain membakar masjid? adakah kita marah?

Kejadian ini bukannya menyelesaikan masalah tapi memburukkan lagi keadaan yang ada sekarang.

Harap-harap polis cepat-cepatlah ambil tindakan, sebelum masalah menjadi lebih parah.


Kepada rakyat Malaysia, semoga ALLAH S.W.T memberkati kita semua.
Amin.

.

Rabu, 6 Januari 2010

Langkawi

.

Indah pantai berlangit merah
pulaunya kecil gelombangnya tidak
hati dirantai rindu diserah
geram terkucil bimbangnya tidak

.

Tahun baru - anda di mana?

.

Tahun baru...anda ke mana?

Aku, malam menyambut tahun baru, kebetulan diajak rakan untuk bersama-sama ke tempat show di Subang. 'Carma' kata orang-orang seni. Maka menempek laa aku malam itu di majlis BBQ orang.

Dengan menaiki kereta Ms Evans, kami menuju ke Subang melalui jalan airport Subang.
Sesampainya kami di pintu masuk utama tempat berlangsungnya majlis, macam-macam pula aku ditanya.salah strategi. Patutnya perempuan yang pergi check in tinggalkan IC kat situ. Tapi tak apalah sebab akhirnya kami lepas juga sebab menjaja nama salah seorang pegawai yang kami kenal kat situ. Mintak maaf Kapten..hehehe..

Sampai sahaja di dewan, kami ke bilik persalinan di tingkat satu.dewan kecil sebenarnya dan diubah menjadi bilik persalinan untuk show malam tu. Ramai juga yang akan buat show nanti.

Show start agak lewat. Jadik aku merayau dulu kat sekitar area tu...melihat rumah kelab yang mewah dan punya kolam renang...mulalah aku berangan...hehehe...

Setelah puas meround kawasan tu, mulalah aku rasa dahaga.cubalah jugak cari air.tapi tak jumpa pula. Tak apalah kejap lagi dah tiba time makan...sabarr!!!

Tengah dok melayan rasa dahaga..tiba-tiba terdengar...

"another 10 minutes!"

...show dah nak start dah.
dan aku rasa 'show' aku jugak akan bermula kejap lagi...rutin aku untuk kesekian kalinya...tiba-tiba je rasa dahaga dah hilang dah...hehehe...

Sambil melihat kawan-kawan aku menari dan menyanyi dan berdansa dan menari dan menyanyi dan berdansa....aku membatu di tepi sudut gelap dewan. Aku agak segan...takut-takut ada orang perasan ada 'orang asing' kat majlis tu.... Tapi tuan rumah amat peramah dan mesra. siap menjemput aku makan setelah tahu aku ni 'pengiring' group yg buat show malam tu. Terima kasih.

Kawan-kawan aku terus buat show.
Ahhh....tak apalah kan mereka dibayar untuk itu....so biarlah mereka carik makan sempena menyambut tahun baru ni.

Dan aku seperti biasa menuju ke meja buffet untuk melaksanakan tugasan rutin aku. MAKAN!!!
hehehe....SHOW TIME BABE!!!

sambil makan char kuey tiow, ikan bakar, udang bakar,kambing panggang dan banyak lagi...sempat jugak aku melihat show mereka. Seronok juga melihat telatah mereka..kagum pun ada...dan kadang-kadang tertawa juga. Cuma dalam hati aku ada juga rasa hiba. Maklumlah ketika orang lain begitu gembira berpesta menyambut tahun baru, mereka gigih bekerja untuk mencari sesuap nasi. Menghiburkan orang lain walaupun terpaksa mengorbankan kegembiraan untuk diri sendiri.

Ada juga live band (aku suka ini!), dan penyanyinya juga ada! Maka berselang-selilah mereka membuat persembahan.

Tepat 12.01 pagi, bergegarlah dewan dengan laungan selamat tahun baru...dan aku juga berkongsi kegembiraan mereka. Cuma bezanya mereka terlompat-lompat dan terkinja-kinja ramai-ramai di lantai dansa, aku pula melompat sorang-sorang - di tepi sudut gelap dewan. Sementara menunggu kawan-kawan selesai membuat persembahan.
hehehe...

Kami pulang lewat malam itu. Setelah sesat jalan, di tahan (sekali lagi!) dan disoal macam-macam di pintu keluar.

Sampai di rumah, terus carik tilam dan bantal...apa lagi masa untuk tidurrr!!!
itulah...kalau dah kenyang dan letih...hehehe.


Anyway, selamat tahun baru pada kawan-kawan yang sudi menjenguk ke blog ni.
Terima kasih banyak-banyak.

SELAMAT TAHUN BARU!!!!

geb razali.
pandan indah.
.