Sabtu, 20 Mac 2010

RRG di Tupai-Tupai

.
Aku menerima jemputan kenalan untuk sama-sama menyertai acara sambutan hari lahir penyanyi Ramlah Ram di Tupai-Tupai semalam. Pada awalnya aku keberatan untuk bersama, sebab esoknya aku kena hadirkan diri ke kantor untuk membereskan kerja-kerja yang tertangguh. Tetapi atas desakan kawan-kawan dan juga memandangkan lokasinya -TUPAI-TUPAI, tempat yang aku tak pernah pergi, akhirnya aku mengalah. Nak tahu juga sedap ke tak sedap makanan kat situ.

Maka dengan hujan renyai-renyai, bertolaklah aku dari Pandan Indah seusai solat maghrib. Malangnya disebabkan tak biasa jalan tersebut (walaupun aku sudah berkali-kali ke DBP) aku terlajak sehingga ke KL Sentral, terpaksalah berpatah balik. Ditambah pula dengan jalan sesak, aku sampai di Tupai-tupai pukul 9 malam.

Masuk saja pintu pagar, sudah ada staf yang tunjukkan tempat parkir kereta. Bagus! first impression tu penting. Buka saja pintu kereta sudah terdengar dari jauh suara Adif dan Rosie sebagai Master of Ceremony malam tu. Mereka berdualah yang beria-ia mengajak aku untuk turut sama-sama memeriahkan majlis ini.

Dengan baju merah hitam (yang lusuh!)aku cuba untuk menepati tema warna pada malam itu. Ramai juga peminat-peminat Kak Melah ni. Mereka semua berbaju hitam merah. Meriah sungguh!
Aku duduk di meja bersama-sama dengan kawan-kawan aku yang lain - ada Ms Drag Lola, Zaidi dan tunang, Din dan anak ikan, Imelda & Teratai. Rupa-rupanya meja yang aku duduk tu tempat duduk AJK majlis malam tu. Aiseh salah tempat pulak. Tapi aku buat derk jek...duduk juga kat situ. Sampai time makan aku laju je menuju tempat makan. Dah lapar meredah hujan ni...hehehe.

Kak Ramlah amat sporting, seperti biasa beliau menyanyikan beberapa lagu popular beliau untuk menghiburkan mereka yang hadir. Rosia dan Adif ke hulu ke hilir sambil mulut becok mengacarakan majlis sebelum majlis diserahkan kepada Roslan Syah.

Ramai juga artis lain yang hadir. Ada Alyah, Bob, Zoey ASTRO, beberapa orang pelakon baru yang aku tak kenal, Yantzen, penyanyi nasyid yang terer mencipta lagu tu-juga aku tak ingat nama, Fazley Zainal dan ramai lagilah.

Reporter jugak ramai yang aku jumpa. Jumpa Kiah Propa! Adif amat menyukai dia ni! hehehe... Malangnya pada pandangan aku KEBANYAKAN mereka ini amat selekeh pada penampilannya. Seolah-olah tidak begitu menghormati majlis ini. kalau tidak mahu
mengikut tema tak apa, tapi pakai laa yang sedap memandang sikit. Tapi nak buat macamana, kuasa menulis di tangan mereka, ikut suka merekalah nak buat apa atau nak pakai macamana. Yang penting boleh makan free! Cuma yang aku tengok layanan Kak Ramlah (mungkin artis-artis lain juga)pada reporter ni melebihi layanan pada peminat! kadang-kadang aku rasa over pulak. Sehingga pada satu masa, kami tidak nampak kelibat Kak Ramlah di majlis tu, mungkin kena layan reporter-reporter tu kot...iskh rugi pulak aku tak jadik reporter dulu heheheh....boleh dapat layanan special.

Ada juga segerombolan DJ dari Suria FM (aku rasalah). Seronok dengar suara DJ Lin. Sedap sunggoh!!hehehe...

Macam-macam aktiviti ada-karaoke,kuiz dll. Anak-anak saudara Kak Ramlah juga turut menyanyi pada malam tu.

Sambil melayan lawak Roslan Syah aku tetap menyuap makanan yang ada, aku suka betul tapai ubi yang ada kat situ. Steamboat pun Ok laa...tak lah teruk sangat.Ada nasi, meehun dan juga aiskrim. Tak lupa juga kek birthday Kak Ramlah.
Pendek kata kenyanglah aku malam tu.

Hampir pukul 12.00 tgh malam, aku pulang. Dah tak larat menunggu Adif & Rosie. Permisi Kak Ramlah, tahun depan buat lagi dan jangan lupa untuk jemput lagi.
.

Isnin, 8 Mac 2010

PERANG SAADONG

.

berikan dia kerambit
gagang putih gigi beram
tebuk kelarai liuk segenggam
berganti tiada
lawi pendek bulan sabit
lentik rambai berkokok jantan
simpai rotan kejap penumbuk

berhelah baginda
cucuk sanggul telangkup perak
selit tanjung jurai kepala

hening

bening itu tidak lama
malam ini malam perang!
tikam amuk subuh berdarah
tersembur air pinang celaka
cindai bertukar merahmarah
setangan di kaki
capal di kepala
gegak di air gempita udara
siaga sang tuan puteri
melarik tumbuk lada
dada kedal seorang raja
kalau sabar tiada di jiwa

berperilah tuanku baginda puteri
ampun tuanku
hamba beri air ini
lega penyakit aib diri
percik sakti dari jari kaki
buat minum sakit tawari
hiruplah
air kelat basuhan ini

ucuk tara kota mahligai
sang kekasih menunggu
berminum madu berulam muda
pahitnya peroman muka!

di bumi cerang tegayung
cucuk sanggul keluar jua?
.

Rabu, 3 Mac 2010

ADIK FARRAH II

.

dia
gadis manis
duduk malu
berbangku senja
ralit melihat-lihat
kembang kembang puspa
lewat merah langit senjakala

dan
dia senyum
terlihat kumbang mencium bunga
memadu asmara
di jambak mekar kelopak seroja

barangkali
dia rindu
pada air
jatuh dari kudup mawar
segar
merah muda
bagai hati

asyik dalam diam

embun pagi
hilang mengewap aspal hangat
memeluk bayang seorang kekasih

dan dia senyum pada rindu

rumput basah
jalan hijau rimbun
menghantar hati
yang telah lama sedih
pulang mencari pecinta malar kasih
.

DAERAH SUNYI

.

selamat
wahai daerah sunyi
bencana bisu menderam jauh
balik bukit hujung tenggara
lolong sayup menghilang jejak

bunga jadi layu
kering kasih
telaga tiada
tidak berkarai air di timba
lesu JIWA

tenaga sudah di hujung jari
geletarnya aku sembunyi

jalan merah
bergantung di celana
becaknya aku bawa pulang
biar anak-anakku lihat dan faham
jalan mana harus mereka tahu
mencari bunga layu
yang harus mereka siram
.