Sabtu, 27 Februari 2010

PUJUK


KATA PUNGGUK.




rayuku padamu Bulan
usah menangis malam ini
nanti tidur kita tidak lena
resah hati nanti gelisah
merenung mendung Purnama berbayang bintang
langsung tidak berkelip
bagai mati atma jiwa raga
melihat wajahmu berduka luka



pesanku padamu Bulan
jangan bersedih malam ini
izinku kuak awan di mukamu
biar ayu terpercik di dada malam
nantiku beri kalbuhati
yang ku basuh dengan merah berahi
siang hari tadi.

untuk Din, Rayner, Sepul, Mus, Fahmy, Rezal, Riyadh, Roger, Along,Jawal & Paul
UMLawStudents_97
7.28pm Menara SBB, 22 Februari 2007

Ahad, 21 Februari 2010

LAUK KENDURI KELANTAN.

.

Aku seorang penggemar kenduri. Selain lauk-pauknya yang sedap-sedap belaka, aku juga suka ambience kenduri itu yang pada aku begitu meriah sekali. Kita tolak ketepilah kalau ada perselisihan pendapat atau bertengkar kecil tentang perkara remeh-temeh semasa kenduri tu. Yang pasti masa inilah kita berpeluang berjumpa dengan sepupu-sepapat,waris warah, saudara-mara yang jarang-jarang kita jumpa.

Entri kali ini, aku ingin berbicara tentang lauk-pauk kenduri yang dihidangkan semasa majlis perkahwinan di Kelantan. Namun sukalah aku sebutkan di sini, ia tidaklah mewakili keseluruhan masakan kenduri di Kelantan secara amnya, cuma ia mungkin boleh memberikan gambaran serba sedikit tentang tatacara dan selera masyarakat Kelantan dalam masakan terutamanya untuk kenduri perkahwinan.

Sebelum itu, untuk pengetahuan umum di Kelantan juga upacara peratur (bersanding) tidaklah begitu penting berbanding dengan negeri-negeri yang lain di Malaysia. Kadang-kadang permanjangan / peterana (pelamin) yang disewa itu, hanyalah dijadikan tempat mengambil gambar sahaja. Nantilah aku akan menulis tentang adat-istiadat perkahwinan di Kelantan pada entri yang lain.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya tetamu lebih tertumpu pada makanan yang dihidangkan pada hari tersebut berbanding dengan acara-acara yang yang lain. Kerana itulah yang menjadi agenda utama apabila datang ke tempat kenduri -mengisi perut yang kosong. Malahan di mana-mana pun aku rasa macam itulah juga.

Seperti dalam entri aku yang lepas, secara amnya kenduri di sebelah pihak perempuan akan lebih meriah dan lebih besar berbanding dengan kenduri sebelah pihak lelaki -kami memanggil kenduri di sebelah pengantin lelaki ini dengan panggilan Majlis Menyambut Menantu. Jadi tidak hairanlah kalau lauk-pauknya juga kadang-kadang akan berbeza juga.

Untuk makan berhidang, satu set lauk-pauk kenduri yang standard hendaklah mengandungi lima jenis, tidak termasuk dengan nasi. Nasi kenduri juga selalunya hanyalah nasi putih yang biasa kita makan sehari-hari, tidak ada nasi yang berwarna.

Tetapi ada juga yang menggunakan nasi minyak, tetapi kuantiti yang dimasak akan jauh lebih sedikit berbanding dengan nasi putih. Yang istimewanya nasi kenduri ini, butir-butir nasinya akan menjadi lebih relai - tidak melekat-lekat dan tidak lembik pula. Menjadikan nasi ini lebih sedap dimakan.

Lauk-lauknya pula hendaklah mengandungi daging, ayam, sayur dan pencuci mulut. Juga lauk/pencicah untuk pembuka selera. Jarang benar masakan ikan dihidangkan untuk bekwoh (kenduri). Set lauk ini juga hendaklah mengandungi satu lauk yang berkuah yang akan ditambah sekiranya lauk tersebut habis dimakan oleh tetamu. Lauk-lauk yang lain tidak akan ditambah.

Untuk yang tidak ditambah itu, kendurinya adalah yang berhidang. Tetapi kalau makan selerak (buffet), ikut sukalah nak tambah banyak mana atau nak cedok banyak mana pun. Tiada siapa yang melarang...heheh...



Jenis-jenis lauk yang dihidangkan.

Daging
selalunya akan ada 2 jenis masakan daging.

1. Gulai buku kecil -lauk wajip
Semacam kari daging. Tapi orang Kelantan hanya memanggilnya Gulai Daging sahaja. Kadang-kadang ia menjadi Gulai Darat.
Secara jujurnya sampai sekarang aku masih tidak dapat bezakan antara gulai daging dan gulai darat ini, disebabkan rasa dan rupanya lebih kurang sama sahaja.

Selalunya gulai daging atau gulai darat ini akan dicampur dengan umbut kelapa, umbut pisang atau mumbang kelapa. Dan lauk ini akan ditambah sekiranya sudah habis dimakan.

2. Gulai buku besar / kerutuk daging.
salah satu masakan akan di pilih. dimasak dalam saiz yang besar dan tetamu hendaklah mencubit/mengambil daging ini dengan menggunakan tangan (sudu tidak disediakan,kecuali untuk gulai buku kecil). Gulai ini tidak akan dihidangkan sekiranya kenduri diadakan secara selerak (buffet).

Gulai buku besar warnanya seolah-olah daging masak kurma, manakala kerutuk pula adalah semacam masakan rendang untuk orang Kelantan. (secara tradisinya, kami tidak punyai masakan rendang).

Ayam
hanya akan ada 1 masakan. Dan tidak akan ditambah sekiranya habis dimakan oleh tetamu untuk makan berhidang tersebut. Seperti juga dengan gulai buku besar, tetamu hendaklah mencubit/mengambil masakan ayam ini dengan tangan kerana dimasak dalam saiz yang besar dan sudu juga tidak disediakan untuk masakan ini.

Namun terdapat juga satu lagi lauk yang menggunakan khopeh ayam dan perkakas dalam (bahagian ayam yang tidak digunakan untuk masakan Nombor 3 di bawah seperti kepak,leher ayam, kaki ayam, hati, limpa dll).

3.Ayam masak merah/ayam masak pedas/ayam percik.
Amat jarang ayam masak pedas dimasak untuk lauk kenduri, kalau dimasak pun pedasnya tidaklah begitu terasa kerana ia tidak begitu digemari oleh masyarakat Kelantan.

Ayam percik merupakan pilihan utama. Tetapi disebabkan cara pembuatannya agak remeh, mejadikan ayam masak merah agak popular untuk dimasak semasa bekwoh (kenduri) walaupun ayam percik lebih digemari oleh tetamu yang hadir.

4.Teresek/masak taucu/dalca.
Tuan rumah akan menghidangkan salah satu dari 3 masakan ini.
masakan ini akan menggunakan khopeh ayam (leher,sayap dan kaki) dan perkakas dalam (hati, limpa dsb) dicampur dengan 1 atau 2 jenis sayur yang lain:

Teresek - akan menggunakan jantung pisang.
Masak taucu - akan menggunakan taucu,udang dan kacang panjang.
Dalca - akan menggunakan terung dan kacang dhal.

Namun disebabkan ia akan melibatkan kos tambahan kerana terpaksa membeli bahan-bahan tambahan yang lain, kadang-kadang ia tidak akan dihidangkan dan akan digantikan dengan hidangan yang lain. Bergantung pada bahan yang mudah didapati pada masa itu. Masak lemak nangka muda contohnya.

Sayur.
Umumnya ada 3 pilihan. Tuan rumah akan memasak salah satu daripada masakan-masakan sayur ini.

5.Acar/pajeri nenas/acar masak.

acar - dipanggil jelatah di negeri-negeri lain.

pajeri nenas -amat jarang dimasak untuk kenduri. Tapi masih ada yang rajin menghidangkan masakan ini terutama bagi mereka yang turut menghidangkan nasi minyak selain dari nasi putih yang biasa.

acar masak - adalah panggilan untuk acar. perkataan 'masak' digunakan untuk membezakan cara masakan yang digunakan kerana ia perlu dimasak berbanding acar/jelatah yang hanya perlu di taruk cuka dan sedikit perahan limau nipis.

Tetapi sekarang, untuk selera yang lebih moden ada juga dihidangkan kacang panjang yang digoreng dengan khopeh ayam dan perkakas dalam tadi.
Ada juga yang menghidangkan sayur campur terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan yang lebih menghampiri kawasan bandar. Tapi masakan-masakan ini tidaklah begitu popular.

Makanan tambahan lain (pembuka selera)
budu tidak dihidangkan untuk kenduri!
Aku tidak tahu kenapa, tapi memang ia tidak pernah dihidangkan untuk kenduri di Kelantan walaupun ia merupan makanan/pencicah utama untuk penduduk di Kelantan.

Kami juga tidak punyai acar buah seperti mana yang terdapat di sesetengah negeri yang lain.

Tuan rumah akan menyediakan sekurang-kurangnya satu daripada lauk pembuka selera ini.

6. ikan kering (masin)/masak tumis ikan bilis/sare/jeruk maman & sambal lada.

ikan kering - yang popular digunakan adalah ikan pelata & tamban. Ada juga ikan-ikan yang lain tapi aku sudah lupa namanya! heheh... :p

Sambal ikan bilis - ini masih lagi baru, hanya sesetengah tuan rumah sahaja yang menghidangkan sambal tumis ikan bilis ini.

Sare - pula adalah sejenis makanan tradisi yang dibuat dari rumpai laut yang diimport dari Selatan Thai. Ia bergantung pada musim. Lauk ini juga amat popular terutamanya pada bulan puasa. Pada aku sekali pandang macam makanan Jepun pun ada!

Jeruk maman - seperti juga sare, ia juga bergantung pada musim, sekiranya kena musimnya, maka jeruk maman ini akan dihidang sebagai pembuka selera untuk dimakan bersama-sama dengan nasi.

Sambal lada - sambal ini juga bolehlah dikatakan wajip untuk hidangan kenduri di Kelantan. Bezanya dengan negeri-negeri yang lain, sambal ini tidak dicampur dengan belacan dan sedikit manis kalau dibandingkan dengan sambal dari negeri-negeri lain.

Pencuci mulut.
Tuan rumah akan memilih sekurang-kurangnya satu daripada tiga di bawah.

6.Sira/buah-buahan/beledo (agar-agar).

Sira-selalunya labu/ubi/pisang digunakan untuk masakan ini. Ia merupakan masakan Kelantan yang amat popular, bahan-bahan ini akan dimasak dengan gula sehingga empuk. Bahan-bahan lain ada juga digunakan tapi aku tidak tahu laa apa bahannya...heheh...

Buah-buahan - secara tradisinya buah timun cina (tembikai) akan digunakan. Namun sekarang buah oren juga amat banyak digunakan.

Beledo (agar-agar) - selalunya warna kesumba merah..tidak tahu kenapa. Tapi itulah warna yang selalu digunakan.

7.Air minum
selalunya air sirap. Tuan rumah yang rajin sedikit akan memasak gula bercampur daun pandan sebelum dibancuh dengan air kosong. Kadang-kadang ada juga air oren tetapi amat jarang dihidangkan.

Tetapi jangan terkejut sekiranya kita akan terasa seperti meminum air sirap limau pula.
Kenapa?
Sebenarnya limau nipis akan digunakan dan dicampurkan ke dalam air biasa untuk membasuh gelas-gelas yang telah digunakan oleh tetamu sebelum itu.

Secara kesimpulannya,
sekiranya kita menghadiri majlis kahwin di Kelantan kita akan dihidangkan dengan lauk-pauk seperti ini.

1.Nasi
2.Gulai Daging/Gulai Darat(dicampur umbut kelapa/umbut pisang/mumbang kelapa).
3.Kurma Daging/ Kerutuk Daging*
4.Ayam Percik/masak merah/masak pedas
5.Teresek/Dalca/Masak Taucu - kadang-kadang digantikan dengan masakan lain.
6.ikan kering/sambal ikan bilis/sare/jeruk maman
7.sira (labu/ubi/pisang) /buah (tembikai/oren) /Beledo (agar-agar)
8.Sambal lada
9.Air sirap.


*masakan nombor 3 tidak akan dihidangkan untuk makan selerak (buffet).




Seperti yang aku sebutkan di atas, kenduri di sebelah lelaki (majlis menyambut tetamu) kadang-kadang agak berbeza.
Tidak semeriah dan tidak sebesar kenduri sebelah pihak perempuan.

Laksa menjadi pilihan popular untuk majlis menyambut menantu. Terdapat tiga jenis laksa yang akan dihidangkan.

1.Laksa lemak.
Laksa yang menggunakan santan dan isi ikan sebagai kuah dan berwarna putih. Akan dihidangkan dengan ulam-ulam- kacang panjang dan taugeh menjadi pilihan utama selain dari daun-daun kayu (pucuk-pucuk kayu) yang lain. Yang menariknya, untuk kenduri ini, laksa hanya dimakan dengan tangan kerana sudu tidak disediakan untuk hidangan ini. Oleh itu, amat penting untuk kuah laksa ini pekat agar melekat pada laksa dan senang untuk disuap nanti. Kuah laksa ini disediakan agak sedikit tawar untuk standard orang Kelantan. Oleh yang demikian bersama-sama dengan ulam akan disediakan juga garam dan juga belacan.

2.Laksam
Orang Kelantan menyebutnya 'lakse' (sebutan e seperti dalam perkataan 'ekor').
Sama juga dengan masakan laksa cuma bezanya laksam saiznya seperti kueyteow dan bergulung-gulung.
Untuk hidangan ini sudu akan disediakan kerana kuah tidak akan melekat pada laksam walau sepekat mana pun kuah tersebut.

3.Laksa Penang.
Ini merupakan masakan laksa sebelah utara. Tetapi orang Kelantan lebih gemar memanggilnya dengan panggilan laksa penang sahaja walaupun cara penyediaanya mungkin lebih mirip laksa kedah ataupun laksa perlis atau laksa-laksa dari kawasan lain di utara. Tapi kami tetap memanggilnya laksa penang.

Ulam-ulamnya juga akan berbeza sedikit dengan laksa lemak. Akan ada hirisan nenas dan bawang besar. Ada juga hirisan daun saderi/salad. Kadang-kadang telur burung puyuh juga turut disediakan.

Selain daripada laksa, majlis doa selamat juga kadang-kadang turut diadakan oleh pihak lelaki.
Lauk-pauknya sama sahaja dengan kenduri di sebelah pihak perempuan itu cuma yang bezanya hanya kenduri ini akan lebih kecil. Hanya saudara-mara dan jiran tetangga yang terdekat sahaja yang akan dijemput. Variasi lauknya juga akan menjadi lebih sedikit. mungkin hanya 4 atau tiga lauk sahaja. Terpulang pada bajet tuan rumah.

Tetapi, kini sudah ramai juga yang mengadakan kenduri seperti mana yang diadakan di sebelah pihak perempuan terutama bagi mereka yang pertama kali menerima menantu ataupun untuk menantu yang terakhir. Dan juga sekiranya pengantin lelaki itu mempunyai kenalan yang ramai dan mempunyai kerjaya yang agak stabil - yang memerlukan jamuan yang agak besar untuk memenuhi kehendak kerjayanya. Ditambah pula orang tua pengantin lelaki itu jenis yang tidak berkira atau punyai biaya yang lebih.



bersambung...

Khamis, 18 Februari 2010

BALIK KAMPUNG

.

Kelik kampung kali ini aku menjadi seorang pemandu. Untuk ke tempat bekwoh waris warah sebelah mak dan juga jiran sekampung. Tak apalah boleh juga aku makan kenduri (yang teramat aku suka).

Pulang hari jumaat malam sabtu tidak pula sesak sepanjang jalan. Cuma kadang-kadang rasa mengantuk datang menganggu ketika kusyuk memandu. Lebih-lebih lagi di sepanjang jalan antara Gua Musang dan Kuala Krai. Begitu meletihkan mata.

Tapi akhirnya kami sampai juga.Setelah menghantar AMN ke Kampung Kota, aku terus memecut pulang. Tak sabarnya melihat keluarga. Sampai di rumah pukul 5 pagi. Apalagi, terus layan mata mengantuk.

Adik-adik aku juga pulang hari ni. Cuma yang bongsu tiba lebih awal dari aku. Abangnya pulang bersama dengan aku dari KL. Adikku Rojie pula pulang dari Melaka, sampai di rumah seusai aku tidur merehat lelah. Rojak tidak pulang, begitu juga Kak Yah di Pahang. Maka berkumpullah kami adik beradik yang seramai enam orang itu- setelah tolak Kak Yah, Rojak dan Abang Long. Tapi Abang Long akan sampai esok hari dari Perak.

Hari ahad aku ke Kok Lanas - sepupu mak menerima menantu. Menantu pertama, semestinya hati berbunga-bunga. Cerianya Mak Cik Yah dan Pak Din hari tu. Tapi penatnya mesti ada, siapa-siapa pun. Maklumlah makan besar.

Aku memang gemar makan kenduri. Kali ini di Kok Lanas ada sambal ikan bilis dan juga singgang daging. Kelainan dalam lauk kenduri Kelantan. Seperti biasa ada kari daging, ayam masak pedas, acar timun,sambal, ikan pelata kering dan juga sira labu. Sedap juga rasanya...heheh.

Pulang ke rumah malamnya ada jiran sekampung mengadakan kenduri arwah. Makan lagi! Tapi pada malam yang sama ada tiga lagi rumah yang tok imam kena hadir untuk majlis tahlil. Jadi menunggulah kami dengan penuh sabar. Bertemu juga sohabat kawan-kawan lama. Bersembang sekadar bertanya khabar berita.

Tiba masa makan, lauknya tidak banyak beza dan sedapnya juga sama rasa. Aku pulang dengan perut kenyang dan hati senang heheh...

Hari Isnin, majlis menyambut menantu di rumah sepupu mak yang tadi. Setelah ke rumah pengantin perempuan di Kok Lanas, kini tiba pula giliran kenduri di sebelah pihak lelaki.

Umumnya di Kelantan, kenduri sebelah pihak lelaki tidak sebesar dan tidak semeriah pihak perempuan. Kadang-kadang cukup hanya berjamu makan laksa. Atau bacaan doa selamat pada sebelah malamnya.

Tapi sepupu mak,kendurinya besar juga. Inikan menantu pertama. Masakan boleh buat kecil-kecil saja. Lebih-lebih lagi ramai saudara-mara yang dijemput hadir sama.

Lauk di rumah Mak Cik Yah ada teresek - sejenis masakan Kelantan yang menggunakan jantung pisang yang menjadi kegemaran kami sekeluarga. Ada kari daging juga, ayam masak merah,sambal,gulai lemak nangka,ikan pelata kering dan sira ubi setelo. Jelira sungguh!

Berjumpa juga dengan Mak Yah yang pulang dari Temerloh, Pahang. Ayah Mat tidak begitu sihat. lenguh-lenguh dan sengal-sengal separuh badan. Semoga Ayah Mat segera cepat sembuh ya. Mereka ini juga sepupu mak. Pengantin baru itu anak saudara mereka. Di Temerloh, mereka tinggal dekat dengan rumah Kak Yah -kakak aku.

Juga berjumpa dengan sepupu-sepupu yang lain. Kak Nor & Abang Rahim yang pulang dari Shah Alam. Kak Lina & Abg Yus dari KL juga, Kak Ti & Kak Ida dari Balakong, Ayu yang menetap di Kuala Krai, Abang Lim, Abang Yie, Kak Ana, Kak Yah Wak dan ramai lagi.

Petangnya kami ke Tanah Merah. Ada dua lagi kenduri yang kena hadir. Satu di Bandar Tanah Merah dan satu lagi di Bukit Panau. Kali ini dua-dua anak sepupu mak. Kali pertama aku ziarah waris warah sebelah gemulah Tok Wan yang sememangnya berasal dari Tanah Merah.

Di Tanah Merah, kami makan kari daging berumbut kelapa. Satu lagi cara masakan kenduri di sebelah pantai timur semenanjung. Lauk yang lainnya sama sahaja. Cuma kali ini untuk pembasuh mulut ada agar-agar - beledo kata orang Kelantan.

Usai berkenduri di sini kami pulang ke Kota Bharu. Jalan sesak teruk! mungkin ramai yang sudah mula mahu pulang dan keluar dari Kelantan. Kebetulan jalan yang kami pilih adalah jalan utama untuk mereka yang menuju ke sebelah utara -Perak,Kedah dan Perlis.

Sampai di rumah sudah masuk waktu maghrib.

Malamnya aku ke Pasar Borong wakaf Che Yeh. Sudah banyak berubah. sudah banyak orang berjual kain. Aku berjalan-jalan saja Cuma melihat-lihat sekitar pasar. Orang tetap ramai seperti biasa. Bertemu juga dengan jiran-jiran sekampung. Jumpa artis juga. Tapi aku tidak kenal pula siapa dia. Cuma wajahnya biasa di lihat di TV dan juga media. Itulah Wakaf che Yeh -tempat bertemu segala jenis macam manusia.

Aku pulang sambil mengunyak keropok gote dan menjinjit plastik yang berisi dua akok bunga untuk mak.

Esok aku harus bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Rehat kena cukup malam ini.
.

Rabu, 17 Februari 2010

ENTAHLAH...

.

Malam ini aku berkata pada aku:

kena kental jiwa
mesti kuat rasa
harus senda hati
mesti kena rasi

kalau nak mustajab lagi:

belajar ilmu jiwa manusia
tekun berlatih mengujar kata-kata
kusyuk telaah tilik makrifat
amal pepatah jenaka seloka
tiup jampi kasih segala
cari ubat mendam berahi
renung mata pukau hati
hafal mantera biar menjadi

kawan aku beri petua

ambillah:
7 timba air sungai dari 7 kuala bertemu kuala

guna 3 upih pinang yang tidak tua dan tidak muda
tingginya ganjil 5 saudara.
upih tidak mencecah bumi tidak pula tinggi dari yang tinggi
dipotong dikerat 3 kali
terus dilipat disusuk lidi kelapa 3 kali
jangan pula patah lidi
buruk pula ia menjadi

ceduk air sambil berkata:
aku sangat inginkan dia
hanya dia yang ada di jiwa
di mata dan menjadi tangkal nyawa.

lepas itu hanyutkan upih 3 bersaudara.
biar lepas bebas ke laut lepas.
nantilah 1 purnama... ia akan menjadi.

.
.
.
kata kawan akulah...
aku tak kata apa-apa...heheh...
.
.
.
err...ada percaya?

.

KASIH

.

Mana nak retak cawan dan pinggan
makan tak luak tepinya dapur
mana nak letak kasih yang rawan
orang tak hendak hatinya lebur

dihirup minum hilang dahaga
minta segeluk air berserbat
hilang senyum teringat juga
wajah elok mejelis hebat

makan sepotong buah semangka
kecil-kecil dimakan senang
hajat dikendong nak lihat muka
jauh terpencil susah kepalang

basuh tangan di tepi dinding
air sebekas jirusnya senang
rusuh badan begini runsing
ingat nak lekas masuk meminang

.

Ahad, 7 Februari 2010

LAGI SATU MINGGU

.

Lagi satu minggu aku akan pulang ke kampung -menjejak kaki ke Tanah Serendah Sekebun Bunga, Negeri Che Siti Wan Kembang.
Menghirup udara segar di Tanah Serendah Cerang Tengayung, Negeri Puteri Saadong.
Juga terkenal dengan makanan pelbagai -nasi kerabu, nasi hujan panas, ayam percik dan macam-macam tepung (kuih).
Inilah negeri kelahiran aku, Negeri Kelantan Darul Naim - Negeri Serambi Makkah.

Ini juga tempat asal makyong dan wayang kulit. Menora di Tumpat dan dikir barat yang merakyat.
Tidak lupa juga tarian Asyik-yang banyak dipersembahkan di hotel-hotel itu.
Di sinilah angin tempat orang bergesek rebab berlagu rebana.
Tanah orang bermain kertuk dan bertiup tempuling nyaring bagai seruling sumbing.
Padang tempat orang penaik wau bulan waktu usai musim menuai.

Betapa aku rindu untuk melihat itu semua kembali segar di negeri kelahiran sendiri.

Inilah tempat yang selalu aku bermimpi. Bumi tempat tumpah darah. Kampung mak dan ayah. Juga kampung anak-anak mereka yang seramai sembilan orang itu. Cuma sekarang masing-masing sudah ke negeri lain - mencari rezeki dan menimba ilmu.

Aku orang Kota Bharu. Orang Kelantan kata - Kota Bharu come senyum sokmo. Mungkin mereka melihat pada senyum manis gadis-gadis penjual dan wanita-wanita peraih di Pasar Besar Siti Khadijah. Atau juga di atas Bazar Buluh Kubu. Kalau tidak pun, lihat saja gadis-gadis comel di Pasar Lama MPKB. Mereka ini selalu saja tersenyum, tidak kira pada sesiapa saja. Tak apalah biarkan saja mereka, itu untuk kerja mereka dan aku juga suka mereka begitu.

Anda tahu Wakaf Che Yeh? dulu-dulu, masa aku kecil - kadang-kadang aku ke sana untuk ke Pasar Tani. Sekarang pasar tani ini sudah menjadi Pasar Borong utama di Kelantan, beroperasi 24 7 dan menjadi tarikan utama pelancong di Kelantan.

Yang aku ingat tentang Wakaf Che Yeh hanyalah laluan aku untuk ke Sekolah Menengah dan juga bau pok getah yang begitu mengganggu waktu belajar, terutama selepas waktu hujan. Dan kadang-kadang baunya boleh sampai ke kampung aku. Bau yang begitu memeningkan kepala!

Tapi kini bau getah yang meloyakan itu sudah tidak ada. Tidak strategik untuk menghidu bau sebegitu di kawasan yang menjadi tumpuan utama pelancong di Kelantan. Dengar cerita kilang memproses getah itu sudah dipindahkan ke Gua Musang.

Bila aku pulang, inilah juga tempat wajip aku berkunjung. Bukan untuk membeli apa-apa, cuma mahu merasa kemeriahan Wakaf Che Yeh itu sendiri. Melihat mangga-mangga siam yang murah tika musim mangga yang datang dari Selatan Thai. Mendengar alunan lagu-lagu dikir barat di sebalik jeritan para penjual di kiri kanan sepanjang jalan. Puluhan kedai-kedai bundle yang menjadi kegilaan remaja-remaja yang meningkat dewasa. Juga melihat mek-mek yang comel-comel belaka...heheh.

Kampung aku sebelum Wakaf Che Yeh. Kalau dari Kuala Lumpur melalui Jalan Kuala Krai, setibanya di simpang empat ke Pasir Mas di sebelah kiri, ke Pasir Tumboh sebelah kanan dan kalau terus menuju ke Bandar Kota Bharu.(jalan ini orang Kelantan panggil highway baru ke Pasir Mas). Kawasan ini orang tempatan memanggil dengan nama Batu Empat sahaja.

Sampai di simpang empat Batu Empat ini, aku harus belok ke kanan, mengambil jalan ke Pasir Tumboh. Cuma kalau dari sini kalau ingin ke Pasir Tumboh, anda harus mengambil kanan pada simpang pertama kerana kalau jalan terus, anda akan terus ke Pasir Hor dan sampai pula ke Kubang Kerian.

Kampung aku di tengah-tengah - antara Pasir Hor dan Batu Empat. Dan uniknya nama-nama kampung di sini semuanya pelik-pelik belaka (pada akulah). Ada nama Kampung Putat, ada Kampung Padang Enggang, Kampung Tini, Kampung Padang Darat, Kampung Pasir Jelatang dan tidak ketinggalan juga nama kampung aku sendiri - Kampung Rupek. Ini kampung ayah aku. Mak pula berasal dari kampung sebelah - Kampung Pauh Butut (satu lagi nama yang unik!).

Inilah, tempat yang aku tuju untuk satu minggu lagi. Mak sudah berpesan kalau boleh semua anak-anaknya biarlah pulang belaka kali ni. Ada bekwoh yang kena hadir dan lebih penting lagi untuk mengangkat belinde kubur arwah Mak Ngah yang sudah lama berada di laman rumah Tok Su di Padang.

Tunggulah mak, kito kelik malam sabtu nanti.

p/s: Bulehlah kito make nasik nga ike tawar cicoh budu, ambik ulam buoh timung sebutir duo dari kebun ayoh di dusun...sedap sengoti tu!!! Tunggu deh...

Selasa, 2 Februari 2010

TAMBAH LAGI SATU TAHUN


...29 januari 2010

menjadi aku lebih tua untuk satu tahun lagi.

terima kasih Tuhan kerna memberi aku nikmat hidup...

.