Khamis, 29 Oktober 2009

puisi 3 kawan

.

untuk feisal semberani


tiga malam

dia merindu

ulit asyik dan ratib berahi

dari dada

seorang wanita


tiga malam

diri gelisah

menanti kasih

yang sudah lupa

akan nikmat rasa


tiga malam

tidak keruan

yang budak tua

lapar cinta

dahaga segala


ah

berikan saja dia madu

pelepas haus dan kenyang syurga

hanya untuk malam ini saja


Adik Farrah

satu baris rasa untuk satu kata bicara


senyum

manis


petah

bicara


lidah

fasih


dan

tebal

kaca

mata


ceria

bila

tertawa


gigi

bak

mutiara


hidung

seludang

muda


bibir

menguntum

merekah

delima


kata

tersusun

bak

typewriter


dan


gelak

makcik

makcik

tua


dia

telah

memberi

aku

senyum


terima

kasih


adikku


Setelah adif pulang


pecal lele di ampang

dan jalan sesak

mengajak kami pulang

setelah kenyang

dengan asap

dan mata lelap


adif telah pulang

tinggal hanya aku

menunggu sabar matahari siang

sebelum bulan malam

mengajak kembali

untuk aku ke ampang

mencari lele hitam

dan ulam ulam


ahh… pecal lele

kau tunggu di situ

aku datang



.

.

Ahad, 25 Oktober 2009

di hotel istana

.

Pagi semalam
aku di istana
melihat wak sida
dan dayang dayang
mengarang bunga

peterana agam
meja santapan besar
buaian dua tiang

menjadi
mawar merah
kuning kundang
wangi bersih putih

cantik!
sungguh
membuat aku
ingin jadi raja
walau untuk sehari sahaja

.

Khamis, 22 Oktober 2009

Menonton Lingkaran Kapur



16/10 Jumaat DBP 9.00 malam

Arahan : Profesor Ches J. Skinner

Karya : Bertolt Brecht



Arrgghhh…bertemu janji pukul 7.30 petang di Sentul untuk ke DBP terpaksa aku batalkan kerana bos minta pula untuk aku tunggu sehingga pukul 7.00. Dia kata “Mana tahu kalau ada apa-apa yang penting nanti…”


hermmm…kata dialah.


Kata aku pula…”alah, kalau bos sorang-sorang pun boleh buat hapa…?’

tapi aku hanya berani cakap dalam hati aku saja laa…tak pasal-pasal potong bonus satu bulan nanti…hehehehe… yang terkeluar hanya sengih-sengih dari bibir. Dia angguk dan aku angguk. Dia senyum dan aku sengih.


Bila bos aku masuk meeting terus aku sambar telefon “err…Annie kalau kita jumpa kat DBP terus boleh ke? Abang kena stay pulak…ada hal.” Tapi Annie minta aku tunggu di LRT Hang Tuah pula. Dia datang ambik. Mujurlah adik-adik aku ini sporting juga orangnya…tak ada pula marah-marah…heheh.


Pukul 7.15 aku cabut! Pukul 7.30 aku terpacak kat stesen LRT menunggu mereka!

Ini pertama kali aku turun di LRT Hang Tuah, setengah jam menunggu mereka yang bertolak dari Sentul.

Jalan sesak teruk!


Sebenarnya aku mengajak beberapa kawan untuk sama-sama menonton teater ini

Annie dan Shima – dua adik angkat aku. Pertama kali mereka menonton teater.

Mrae juga pada awalnya ingin sama menonton tapi ada hal lain saat-saat akhir.

Adif-kawan yang gila seni dan gila nyanyi juga datang malam tu. Dia bawa kawan baru Hafiez…

Aku SMS Cik Qasih juga, tapi tidak berbalas pula. Kalau dia datang boleh ajak Ms Ryan sekali.

Tidak apalah, mungkin dia ada hal.


Sebetulnya ini kali kedua aku menjejakkan kaki ke Balai Budaya Tun Syed Nasir. Kali pertama dulu masa aku masih bergelar siswa di Uniperdana. Menonton Sayembara Manifestasi Puisi inter-varsiti. Sempat bertemu Erma Fatima,Ummi Aida dan Aqasha yang mempromosi filem Embun pada masa itu.


Dan ini kali ketiga aku menonton karya adaptasi dari barat.

Pertama di panggung eksperimen UM, produksi pelajar komunikasi massa UM. Tahun 1998 kalau aku tak silap dan arahan Puan Roselina Khir Johari.

Kedua di Dewan Tunku Canselor UM, produksi pelajar teater, Pusat Kebudayaan UM. Tahun 2002 atau 2003 – juga arahan Puan Roselina Khir Johari.


Kali kedua pula aku melihat produksi UiTM, pertama dulu Bukan Lalang Ditiup Angin- di Panggung Bandaraya, KL. Masa tu adik perempuan aku masih belajar di UiTM, di fakulti yang sama dengan mereka yang mementaskan Lingkaran Kapur ini. Atas ajakan dialah aku berkunjung ke Panggung Bandaraya pada tahun itu. Kebetulan pula pelakon lelaki utamanya ‘kasih jiwa hamba’ dia waktu itu.


Ahh…sampai di DBP, lega…belum mula acara!

Aku mencari kaunter tiket. RM10.00… “minta tiga dik.” Dengan senyum manis perempuan cantik penjaga kaunter minta aku tunggu untuk dia tulis resit…dan aku pun pose sekacak mungkin di depan meja tiket.mengharapkan borak-borak dan bual bicara. Kalau tak pun dapat senyum-senyum lawa pun dah tak apa…thehehe. Lupa pulak yang dia muda dan aku tua...dan aku pula membawa dua lagi anak dara…iskhh..kena kembali ke dunia sebenar.


Nampak juga Shahrul Fitri –suami Aida Nurul Ain dari jauh. Kenalan semasa di universiti dulu. Kini dia sudah bergelar pensyarah teater di UiTM. Kami tidaklah begitu rapat. Cuma, kalau ada apa-apa acara masa di U dulu-dulu, kami bertegur sapa dan bertukar-tukar senyum. Aku lebih kenal isterinya yang ramah dan ceria itu.

Mencari tempat duduk agak sukar kerana semua tempat duduk yang banyak dikhaskan kepada tetamu VIP dan juga di’reserved’. Tinggallah kerusi-kerusi yang tidak berapa ‘strategik’ untuk kami pilih.

Bak kata Shima “alaa…kerusi-kerusi tu nanti bukannya ada orang duduk pun nanti…tengoklaa…”

Dan dia betul! Tak apalah Shima, lain kali kita buat reservation.…


Kami duduk dan menunggu pementasan.

Kelihatan pentas di depan yang ada kelainan. Pentas diturunkan ke lantai khalayak dan dibentuk secara arena.- nanti, aku agak mungkin sukar untuk kami melihat para pemeran beraksi-terlindung dengan kepala penonton lain.

Bermula pementasan, bermulalah juga ulasan dan komen-komen (yang amatur : ) dari dua orang adik aku ini. Aku cuma tersenyum lucu. Dan kadang-kadang ada juga betulnya.


Annie (dan Adif kemudiannya) mengatakan muziknya seperti tangkap muat. Penyanyi ke lain, muzik pula ke lain. Itu aku tidak tahu. Aku bukan pandai sangat dalam hal muzik-muzik ni.


Shima pula rasakan busana mereka tidak begitu menarik. Mungkin penggunaan busana ini ada kaitan dengan teori teater yang mereka belajar dan persembahkan kali ini. Kita tidak tahu.


Ah…perasan. Baru sekali menonton teater dah komen macam-macam. Tahu ke teori-teori teater? Jangan nak tunjuk pandai aaa….


Dan bagi aku pula? Macam mana?

Bukan Lalang Ditiup Angin yang dipentaskan beberapa tahun lepas telah meletakkan standard yang tinggi untuk para pelajar UiTM. Pada tahun itu batch tersebut dengan jayanya mementaskan sebuah karya besar SN Datuk Noordin Hassan.


Junior mereka terpaksa bekerja lebih keras untuk menyaingi apa yang telah dibuat oleh abang-abang dan kakak-kakak mereka itu.


Teruja berdasarkan pengalaman menonton Bukan Lalang Ditiup Angin, nampaknya standard para pelakon kali ini sedikit menurun. Adakalanya semacam menonton drama sekolah menengah.


Penggunaan dialek setempat dan bahasa-bahasa asing banyak membantu menghidupkan suasana.

Kami agak terhibur dengan dialog-dialog seperti ini.

Namun ada juga di satu dua tempat kelihatan semacam tidak cocok dan seolah-olah ditampal dengan kasar pada karya yang begitu besar ini.


Pencahayaan juga tidak banyak membantu untuk mewujudkan mood dan memisahkan adegan-adegan dalam teater ini. Mujurlah ada 2 skrin besar di kiri dan kanan penonton yang banyak membantu penonton untuk mengetahui latar tempat dan masa untuk persembahan ini. Cuma kami tahu apabila tukang cerita berbicara tandanya scene yang berikut akan muncul, walaupun nyanyian pelakon ini lebih menyakitkan telinga. Sayang.


Tapi pelakonnya utamanya memang berbakat besar.

Stamina mereka semua juga tinggi. Untuk tiga malam berturut-turut dan satu matinee, memang sesuatu yang menuntut kesabaran yang besar. Aku percaya disiplin mereka juga tinggi kalau tidak masakan boleh mementaskan teater seperti ini..


Syabas untuk mereka walau tidak sepuas aku menonton Bukan Lalang Ditiup Angin tapi pujian harus diberikan kepada mereka kerana berani mementaskan naskhah besar dari barat ini.


Usai menonton, kami -aku, Adif dan Hafiez makan-makan dan borak-borak di kedai makan Tok Perak –– mereka berkongsi sentimen yang sama dengan aku…Cuma dengan nada yang lebih parah dan lebih marah. Mungkin mereka berasakan tidak berbaloi membayar RM10 untuk pementasan yang barangkali boleh juga ditonton semasa hari guru di sekolah-sekolah serata Malaysia .


Sabeerrrr…!!!mereka itu masih bergelar pelajar…biarlah mereka buat seberapa banyak kesalahan pada masa ini. Ini masa untuk mereka belajar dan menggali segala ilmu sebelum betul-betul menjadi pengkarya yang hebat di luar nanti.


Percayalah, mereka inilah yang akan muncul sebagai para pelapis yang berwibawa dan akan mewarnai dunia teater kita pada masa depan.


Untuk mereka ini, aku ucapkan terima kasih. Kalau tidak kerana kalian kami mungkin tidak boleh menonton naskhah ini dalam Bahasa melayu. Semoga kalian akan terus berkarya.


.

Selasa, 20 Oktober 2009

Malam Kelam II

.


entah angin apa

tika malam menanti siang

gemuruh semilir menyeru-nyeru awan suram

menjadi asap asap celaka

luruh bagai anggur-anggur hitam

umpama lihai candu tuak peram

seteguk dua menyambut denting subuh kelam


lalu berlari kencang sang serigala siang

meninggal jauh tadi malam yang hujan

menjadi angin gasar mengejar pusar taufan

menyalak-nyalak bingar

rumput lalang dan pohon rendang


kota lama

kiambang di kolam

sundal malam

kemboja siantan

asyik

menari gelora berahi

iramanya sewangi kasturi

harum di hujung malam

terbawa-bawa sampai ke siang

itu hiasan taman seribu kembang

tempat libur orang orang atasan


lembah subur dua kuala

gelandangan dan orang orang biasa semua

mesra mandiri

sungai keruh tebing runtuh

itu gembira dan langsung hidup

asam keluak celagi dan buah kelubi

masamnya tidak panjang

dimamah dimakan bagai tiada apa apa

gula kabung madu dan nira

manis dikongsi

serata semua

itu indah rasa

tempat untuk semua

manusia biasa


siang ini

pohon rendang direnggut

bagai diperkosa dijerut dibuang

akar terbongkar

dahan patah

batang menyembah tanah

geluk besar

menadah tuba masam

dituang awan yang marah


rumput lalang menjadi padang

dinjak-injak

ganas sang serigala kejam

taringnya dari guruh

bulu tajam menyula bumi

ngaum bingit bergegar langit

kaki kekar merekah tanah

ekor melibas kilat halilintar


lidah hanyir

menjilat

lembah di dua kuala

sungai tebing runtuh bermuntah keruh nanah

menjadi raksasa maha besar

mengaut lahap

mandiri

manis mesra

langsung hidup

dan indah rasa


sudah tidak ada apa apa


anjing serigala

kau juga harus ke kota lama

walau ampuh dah kebal bencana

tapi cubalah

di situ banyak bunga wangi

dan kolam air mawar

boleh bersiram bak putera putera raja


sang serigala yang berkuasa

terima kasih

untuk getir hidup

tandamata derita untuk dikongsi

warisan anak anak kemudian hari


wahai bayu

bila kau berpuput girang

sampaikan ujar salam

pada malam tenang dan nyaman siang

jangan pergi

biar kau di sini

kau pengukir senyum di wajah gembira


juga pesan pesanan ini

untuk orang orang di lembah sana

pandanglah tinggi ke langit

bukan dengan mata

tapi dengan hati

di situ ada wajah tuhan

yang mahu menguji

sabar dan percaya Addin


ya Tuhan

anugerahkan mereka sekelumit rezeki

untuk waktu ini

dan nur iman di dada

untuk selama lama


Razali

20/10/09

MING Building, KL



.

Ahad, 11 Oktober 2009

Demam

...

demam
kerna makan-makan
dan sesat jalan

kerna kenyang
dan duit melayang

aku
tidur dengan perut membusut
untuk dibuang-buang esok pagi

dan kenyang semula
untuk tengah hari nya.

rezeki Syawal

dan aku suka

...